• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    NADDY BUKAN SEKADAR BLOGGER


    SATU KETIKA, sebelum Hanis Zalikha menerobos masuk ke dalam dunia hiburan sebagai seorang pelakon dan selebriti popular, dia terlebih dahulu dikenali sebagai seorang blogger dan popularitinya menerusi medium itu sememangnya bukan satu omongan kosong.

    Itu cuma sebagai contoh. Seiring zaman berubah, selepas blog, tumpuan ramai beralih pula pada medium laman sosial baru seperti Instagram dan Twitter dan mata umum pula mula terarah kepada individu yang mempunyai ramai pengikut dan dilihat sebagai berpengaruh sebelum ‘darjatnya’ diangkat sebagai selebriti laman sosial.

    Siapa sangka, tuah benar-benar menyebelahi si kecil molek bernama Nadhirah Zamani ini dek kerana aktifnya dia di laman sosial yang menyaksikan bagaimana transformasinya dari seorang wanita yang biasa-biasa kepada seorang individu berpengaruh dan popular di kalangan pengguna laman sosial.

    Asalnya cuma suka-suka, Nadhirah yang menggunakan nama samaran sebagai Naddysushi, berjaya mencuri perhatian ramai pengikut dan peminatnya menerusi video aksi gila-gila dan jenaka dari platform Vine yang amat popular di luar negara.

    Ketika jenaka Vine mula diperkenalkan di Malaysia, masih belum ramai yang berani menerokai medium itu. Namun, Naddy adalah antara pengguna terawal platform Vine yang kemudiannya menukar 360 darjah kehidupannya yang kini menyaksikan dia bergerak sebagai seorang selebriti laman sosial dan kini bergelar penyanyi.

    “Saya tak sangka daripada suka-suka sekarang ia jadi serius pula. Masa saya buat Vine, saya tak jangka orang akan tengok apa yang saya buat sebab di Malaysia Vine belum popular.

    “Saya tak buat benda pelik pun, cuma lebih kepada menunjukkan personaliti saya dan kemudian orang dapat tahu saya buat Vine dan ia jadi viral pula. Lama-lama saya kena biasakan diri yang saya dikenali orang dan mereka sentiasa menjangkakan untuk saya kerap hasilkan video lawak lagi,” katanya.


    Masih terkawal

    Mengakui pernah menerima pandangan menjengkelkan yang beranggapan dia mudah mengalami kejutan budaya lantaran populariti yang dikecapi berlaku drastik, kata Naddy, dia tidak merasakan dirinya menjadi orang lain dan tetap masih seperti yang dulu.

    Tambah Naddy, tiada istilah kejutan budaya terwujud kerana dia beranggapan apa yang dimilikinya pada hari ini tidak berlaku dalam masa satu malam.

    “Saya buat Vine dua tahun lalu dan dari situ perlahan-lahan orang kenal saya sehinggalah dua tahun kemudian barulah saya berada di tempat sekarang sehingga dilamar oleh Paranormal Talents untuk menjadi artis di bawah naungan label itu.

    “Saya tak lihat diri saya daripada lekas naik sebab saya saksikan pergerakan itu secara perlahan-lahan. Mula-mula saya akui agak pelik bila ada orang datang nak bergambar dengan saya dan sebagainya, namun lama-kelamaan saya sudah boleh biasakan.

    “Dari semasa ke semasa, saya belajar macam mana nak kawal keadaan dan nak layan orang. Ia ambil masa juga jadi sebab itulah saya tak rasa saya popular dengan cara yang cepat,” katanya wanita berusia 24 tahun ini.


    Klasikal ke pop

    Dalam nada suaranya yang semula jadi halus yang manja, Naddy memberitahu dia juga tidak menyangka Paranormal Talents sudi membuka lembaran peluang untuknya bergelar penyanyi kerana ia sebenarnya adalah sesuatu yang di luar jangkaan mindanya.

    Berkebolehan bermain piano dan biola, kata Naddy, dia sebenarnya cenderung ke arah bidang muzik namun bukan dalam cabang nyanyian yang mana baginya ia kini adalah sesuatu yang baru buatnya.

    “Dari kecil saya memang sudah terdedah dengan pembelajaran muzik kerana ibu dan ayah menghantar kesemua adik-beradik saya ke kelas muzik. Tapi, semua yang saya pelajari adalah muzik klasikal.

    “Saya juga memiliki Diploma Muzik dan Ijazah Persembahan Muzik dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam namun tidak pernah pula menyanyi. Sehinggalah, satu ketika, saya sengaja memuat naik video nyanyian semula lagu lama di laman sosial dan menerima respon positif daripada pengikut.

    “Dari semasa ke semasa, saya kerap muat naik dan dari situ Paranormal kesan bakat saya sehinggalah terhasilnya lagu bernuansa pop berjudul Banana Love yang kini diterima baik oleh semua pendengar dan peminat saya,” katanya.

    Mendapat sentuhan komposer terkenal Audi Mok dan lirik oleh Nurfatima, kata Naddy, lagu tersebut mengenai cinta monyet remaja namun menolak ianya mengenai dirinya sendiri.


    Positif & negatif

    Mengakui lembaran hidupnya kini semakin terdedah dengan anjakan populariti, ia bagaimanapun tidak menjadikan Naddy lekas lupa diri meski ada waktu, akui si rambut kerinting ini, dia pernah merasai tekanannya.

    “Pernah satu ketika, saya rasa macam orang tak suka saya atas sebab-sebab tertentu dan realitinya memang ada. Adat kalau diri dikenali tentu saja akan ada orang yang suka atau sebaliknya.

    “Mula menginjak awal 20-an, saya tertanya, kenapa saya tak nampak matang macam wanita lain. Bila orang jumpa saya, mereka kata saya ni macam budak-budak sekolah sedangkan saya sudah berusia 20-an.

    “Teringin juga nak nampak sisi matang, tetapi kalau ubah, saya akan jadi orang lain. Saya fikir baik tak perlu kerana saya sudah cukup selesa jadi diri sendiri, nak buat macam mana memang perangai saya gila-gila dan personaliti saya memang begini,”katanya.

    Dalam pada itu, kata Naddy, dia sedar, sebagai seorang selebriti kini, ramai yang menjadikan dirinya sebagai contoh dan idola dan kerana itu dia tidak mahu memberi pengaruh yang tidak baik kepada pengikut dan peminatnya.

    “Saya selalu cakap pada pengikut saya di laman sosial agar jangan cuba menjadi diri saya. Apa yang saya cuba sampaikan ialah, agar mereka sentiasa mendakap keistimewaan diri mereka kerana setiap dari kita tak sama,” katanya yang menyifatkan dirinya seorang pendiam andai bersama orang yang baru dikenali.

    Berkongsi cerita, kata Naddy, sebagai selebriti, dia juga enggan bersikap hipokrit. Lantaran itu lebih senang untuk semua orang melihat dirinya yang sebenar di laman sosial menerusi video-video yang dihasilkan.

    “Saya tak mahu orang kata saya tak sama macam dalam video dengan realiti. Apa yang saya tonjolkan di laman sosial, memang itulah diri saya. Ada perkara yang saya tak tunjukkan pada orang, contohnya saya tak beritahu di mana saya bekerja.

    “Ramai yang mungkin tahu saya adalah guru piano, tetapi mereka tak tahu di mana saya mengajar, Saya tak dedahkan kerana tak mahu diganggu kerana ketika saya bekerja saya fokus,” ujarnya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan