• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ANUAR ZAIN BUKAN MERAJUK..


    KESEMPURNAAN dalam kerjaya seni Anuar sentiasa menjadi perhatian kerana adik kepada penyanyi Ziana Zain ini bukan jenis yang mengambil mudah.

    Apatah lagi membabitkan kerja penerbitan album baharu, Anuar mengakui lima tahun adalah tempoh paling lama pernah diambil untuk tujuan berkenaan.

    “Kalau mahu karya segar dan berkualiti, kenalah buat kerja dengan penuh disiplin, teliti dan sabar. Walaupun ditimpa dengan pelbagai cabaran, hati perlu tabah.

    “Untuk album kelima berjudul Anuar Zain, saya dan pasukan Anuar Zain Network bertungkus lumus memastikan kualitinya berada dalam tahap memuaskan.

    “Alhamdulillah semua cabaran seperti mencari lagu yang bagus dan dugaan ketika proses rakaman suara di Jakarta (Indonesia) dan adunan lagu di Sydney (Australia) dapat dihadapi dengan baik .

    “Apa yang saya harapkan agar buah tangan yang dihasilkan kali ini dapat memuaskan hati peminat,” kata Anuar yang masih mengekalkan nama sendiri untuk judul album solo terbarunya itu.

    Yang pasti ada kemanisan tersendiri yang dicatatkan apabila album solo baharu Anuar itu dicatatkan sebagai paling mahal berbanding album sebelumnya.

    Dengan mengambil kira proses pembikinan lagu yang menggunakan khidmat pencipta lagu tersohor tempatan dan Indonesia menyebabkan nilai kos album Anuar Zain ini mencecah ratusan ribu ringgit.

    Kos itu turut membabitkan sesi fotografi menggunakan helikopter khas bagi mendapatkan gambar eksklusif untuk kulit album yang sama.

    Pun begitu, Anuar bertuah kerana penghasilan album berkenaan turut mendapat penajaan pihak tertentu yang sudi menghulurkan kerjasama.

    Berhubung pandangan Anuar tentang keyakinannya untuk menjual album meskipun industri muzik dilihat berada dalam keadaan yang tenat, lelaki ini ada pandangan tersendiri.

    Menurutnya, soal kerugian tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya kerana apa yang penting adalah tanggungjawab dirinya sebagai pejuang seni.

    Keikhlasannya untuk menghiburkan peminat lebih utama buat Anuar berbanding memikirkan soal keuntungan untuk setiap kerja yang dihasilkan.

    “Saya tidak pernah malu untuk mengaku tentang kerugian yang dihadapi pada setiap projek yang membabitkan kerjaya seni saya.

    “Memang berlaku kerugian tetapi saya tidak mahu menjadikan perkara besar dan membebankan. Profesion saya sebagai penyanyi adalah tanggungjawab saya.

    “Walau macam mana keadaan pun, saya perlu memastikan tanggungjawab saya itu berjalan dengan lancar. Tak untung pun tak mengapa.

    “Saya percaya pasti akan ada rezeki lain yang mendatang. Tidak semestinya dengan penghasilan album atau penganjuran konsert,” ujarnya.

    Album Anuar Zain yang bakal berada di pasaran nanti akan memuatkan lapan buah lagu berjudul Kembali, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Hujan, Kembali Padamu Ilahi dan Selamat Malam.

    Helen Yap, Habsah Hassan, Najwa Mahiaddin, Syed Haron Ahmad adalah komposer tempatan yang terlibat dalam album yang bakal berada dalam pasaran bulan depan ini selain Numata, Alto dan Alam Anggara Urbach dari Indonesia.


    Sensitif

    HAMPIR kesemua lagu yang termuat dalam album berkenaan berentak balada sementelah genre itu paling dekat dengan jiwa Anuar sendiri.

    Mengulas tentang penjiwaan balada Anuar memberitahu dia seorang yang sensitif dan hati mudah tersentuh setiap kali berdepan dengan situasi sedih.

    Bagi memastikan persembahan nyanyiannya itu dapat menyentuh hati pendengar menurut Anuar, dia sedaya upaya akan menyelami bait lirik lagu dengan baik sebelum memulakan proses rakaman.

    “Balada memang jiwa saya sejak dulu lagi. Sebab itu kebanyakan daripada lagu-lagu persembahan saya itu adalah berentak sebegitu.

    “Saya selesa untuk menyanyikan lagu balada. Rasa puas kerana dapat meluahkan apa yang terbuku dalam hati saya yang paling dalam.

    “Pun begitu saya tidak bermasalah untuk menyanyikan lagu rancak selain perlahan. Yang pasti dendangan itu keluar daripada sanubari sendiri,” katanya.

    Sengaja mengusik Anuar tentang hasrat untuk kembali ke bidang lakonan, penyanyi lagu Sedetik Lebih ini lebih selesa untuk fokus dalam bidang nyanyian semata-mata.

    Meskipun pernah tampil dalam filem Soal Hati dan Bintang Hati namun Anuar tidak berhajat untuk berlakon ke layar perak semula.

    “Keutamaan saya hanyalah menyanyi. Tidak mungkin untuk saya kembali berlakon kerana tidak mahu fokus utama lari daripada matlamat sebenar,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan