• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ELIZABETH TAN ADA SIKAP PARANORMAL?


    Di sebalik senyuman menawan pelantun lagu Knock, Knock itu tersimpul rapi rahsia diri yang tidak diketahui khalayak. Penyanyi Elizabeth Tan yang pernah merangkul anugerah Penyanyi Wanita Baharu Terbaik Anugerah Planet Muzik 2015 memiliki perangai ‘pelik’ apabila mengaku gemar berbicara seorang diri.

    Perangai ‘pelik’ wanita berusia 22 tahun yang lebih mesra dengan panggilan Lizzy itu kerap berlaku di rumah, malah ketika di dalam kereta.

    Begitupun, Lizzy atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei mempunyai alasan tersendiri bersikap sedemikian kerana perasaan membuak-buak meminati bidang lakonan.

    “Saya akui sering bercakap seorang diri di depan cermin. Kadangkala saya akan bercakap sendiri semasa makan atau di dalam kereta, tanpa disedari ia terkeluar secara spontan. Saya sama sekali bukan gila atau psiko.

    “Saya begitu meminati bidang lakonan sehingga melatih diri seorang diri. Saya akan mereka situasi atau skrip sendiri sebelum melakonkannya di depan cermin,” dedah Lizzy ketika ditemui selepas majlis pelancaran klip video single terbaharunya, Tabah di Njoy Planet Cafe @ The Earth, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

    Dalam menggapai impian bergelar sebagai pelakon, Lizzy pernah beberapa kali menghadiri sesi uji bakat untuk mencuba nasib menjadi pelakon drama dan filem disebabkan minat terhadap dunia lakonan.

    Pelakon filem arahan Mamat Khalid, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium itu menambah, dia sangat bertuah apabila berjaya mendapat watak dalam sebuah drama dan filem.

    “Dalam drama dan filem berkenaan, saya memegang watak pelakon pembantu sebagai teman wanita yang psiko. Saya akan sibuk dalam bidang lakonan sehingga bulan Januari atau Februari tahun depan.

    “Bagi drama berkenaan yang akan bersiaran di RTM, saya telah menerima skrip untuk sesi latihan. Bagaimanapun, saya masih tidak boleh mendedahkan filem tersebut kerana masih belum menerima skrip,” ujarnya.

    Berbicara mengenai persiapan diri mencuba dunia baharu dalam bidang lakonan, Lizzy menjelaskan, dia ingin memasuki kelas lakonan sebagai usaha memantapkan mutu lakonannya.

    Katanya yang tidak pernah lekang mengukir senyuman, dia mempunyai impian untuk berguru dengan dua pelakon handalan tanah air.

    “Saya mengimpikan untuk berguru dengan Fatimah Abu Bakar dan Fauziah Ahmad Daud yang mengungguli kategori Pelakon Wanita Drama TV Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) baru-baru ini. Mereka merupakan pelakon dan guru yang cukup berkaliber untuk membimbing saya dalam bidang lakonan.

    “Saya tahu mereka garang apabila mengajar penuntut-penuntut ilmu lakonan. Namun, itulah sebab mengapa saya ingin mendapatkan khidmat mereka dalam mempelajari selok-belok lakonan. Kalau dapat guru garang, lebih mudah untuk saya belajar,” jelasnya sambil ketawa.

    Gadis yang meminati filem romantik komedi Pisau Cukur itu turut memberitahu, dia menyimpan impian untuk memegang watak seorang gengster pada suatu hari nanti.

    Tabah

    Berbalik kepada bidang nyanyian, Lizzy yang bernaung di bawah syarikat Paranormal Talents dan label Faithful Music memberitahu, walaupun masih baharu dalam bidang nyanyian, dia banyak mengerti tentang perjalanan anak seni.

    Hal itu termasuklah mendepani atau perlu belajar menangani tekanan dan kecaman daripada pengkritik.

    “Sejak berkecimpung dalam dunia seni, banyak yang sudah dilalui termasuk pelbagai kritikan dan kecaman yang saya terima.

    “Ia bukan sahaja menyentuh tentang penampilan atau tindakan saya tetapi termasuk kritikan saya tidak boleh menyanyi secara langsung.

    “Melalui kritikan seumpama itu, saya menjadi lebih matang dan berfikiran positif, malah setiap komen dan kritikan yang dilemparkan menjadi pembakar semangat dalam mengharungi dunia seni,” ujarnya yang pernah menjejak kaki di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30.

    Melalui pengalaman diperoleh, Lizzy menjelaskan, ia diterjemahkan melalui single terbaharu berjudul Tabah.

    Single tersebut merupakan hasil nukilan dirinya sendiri bersama Audi Mok dan Shazee Ishak.

    Katanya yang cukup popular dengan lagu duet bersama mentornya, Faizal Tahir, klip muzik video Tabah telah ditaja Mon Space (M) Sdn. Bhd..

    “Saya menghasilkan Tabah melalui pengalaman dan kritikan tentang penglibatan saya dalam industri seni.

    “Ia umpama pemangkin buat saya agar jangan cepat melatah apabila dikritik dan itu yang saya terjemahkan dalam lagu ini,” katanya.

    Tabah yang kini boleh disaksikan menerusi YouTube menjalani penggambaran selama 18 jam. Biarpun penat, Lizzy menyukai hasilnya.

    Ditanya mengenai perkembangan lain, Lizzy berkata, dia mempunyai perancangan untuk memasuki kelas vokal bagi memantapkan lagi mutu nyanyiannya.

    “Saya ingin memasuki kelas vokal secara formal untuk memastikan persembahan nyanyian dapat diperbaiki. Sejak mendapat pelbagai kritikan, saya mengambilnya secara positif dan ingin memperbaiki diri dalam dunia seni,” ujarnya yang pernah menjadi juri program realiti nyanyian di Indonesia, Just Duet.

    Elizabeth Tan baru mendiami lapangan hiburan sebagai penyanyi. Sebagai pendatang baharu, dia tidak mudah melatah dan sentiasa bersikap positif terhadap kritikan atau kontroversi yang singgah pada dirinya. Single Tabah yang baru dilancarkan, mengambil latar pengalaman kariernya yang sempat dikritik hebat.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan