KALI terakhir peminat melihat penyanyi yang popular dengan lagu Duhai Malam ini beraksi adalah di pentas pertandingan One In A Million 2 (OIAM2) pada tahun 2007.
Menyorot pembabitannya sepanjang berada di OIAM2 ketika itu, perjuangan penyanyi bernama Intan Sarafina terhenti setakat minggu keenam sahaja.
Gembira diberi peluang menimba ilmu dalam pertandingan realiti tersebut, Intan atau nama lengkapnya, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 35, lantas menambah azam untuk terus bertapak kukuh dalam kerjaya nyanyiannya.
Meskipun begitu, keputusan menamatkan zaman bujang bersama lelaki pilihan hati, Iskandar Ezzahuddin Dr. Ahmad Zulkiflee pada tahun 2008 terus menutup buku kerjaya nyanyiannya.
Kini, kemunculan semula Intan dalam industri seni tanah air mengubat kerinduan peminat. Kemerduan suaranya berpadu bersama penyanyi Elyana dalam pertandingan realiti radio terbitan Kool FM, Super Karoks menarik perhatian ramai pendengar untuk mengundi dan menjadikan mereka juara.
Mendahului empat kumpulan lain, Intan dan Elyana yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Hey Ladies membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.
“Selepas menyertai OIAM2 pada tahun 2007, saya pernah terlibat dengan dunia lakonan. Setelah itu, saya berkahwin pada tahun 2008 dan terus mengambil keputusan untuk berehat.
“Sebenarnya, suami tidak pernah menghalang untuk menyanyi. Bagaimanapun selepas berkahwin, saya terus hamil dan kemudian terus sibuk membesarkan anak-anak. Jadi saya rasa, biarlah saya berehat ketika itu,” terangnya sopan menyangkal dakwaan suaminya menghalang daripada menyanyi.
Tambah ibu kepada tiga putera comel itu, dia selesa menjadi suri yang menguruskan rumah tangga sepanjang tempoh lapan tahun menyepi.
“Saya mula bernyanyi seawal umur sembilan tahun, ketika berusia 17 tahun telah mengikat perjanjian bersama syarikat rakaman. Hal itu membuatkan saya tidak kisah untuk berehat seketika.
“Sepanjang tempoh itu, saya selesa menguruskan rumah tangga dan membesarkan tiga anak saya iaitu Megat Evan, tujuh tahun, Megat Israfil, lima tahun dan anak bongsu yang baharu berusia dua tahun, Megat Noah,” ujar Intan.
Kembali
Bercerita tentang kemunculan semulanya, jelas Intan, dia memang mempunyai perancangan untuk kembali aktif menyanyi. Hajat tersebut dipermudahkan setelah mendapat panggilan telefon daripada rakan baiknya, penyanyi dan penyampai Kool FM, Haiza.
Terangnya, dia terus bersetuju setelah merasakan tawaran untuk menyertai pertandingan Super Karoks itu menarik.
“Ketika itu, Haiza menghubungi saya dan memberitahu tentang pertandingan ini. Dia turut bertanya sama ada saya ingin menyanyi semula atau tidak?
“Setelah berfikir dan secara kebetulan memang sedang dalam perancangan untuk membuat kemunculan semula dengan single baharu, jadi saya terus menerima tawaran itu,” katanya tersenyum.
Ditebak persoalan adakah single baharu tersebut punca utamanya menyertai Super Karoks, tanpa berselindung wanita yang penuh dengan sifat sopan santun itu terus mengiyakan.
Intan yang turut berkongsi mengenai single terbaharu memberitahu, lagu tersebut kini berada dalam proses akhir rakaman dan dijangka akan dilancarkan sekitar tahun ini juga.
“Ya, sebab utama saya bersetuju untuk menyertai Super Karoks kerana ingin membuat kemunculan semula. Ketika itu, saya memang sudah berbincang dengan Tam Spider tetapi lagu belum dirakamkan lagi.
“Lagu ciptaan Tam Spider dan liriknya ditulis oleh Iman Imran berjudul Aku Rindu itu akan dikeluarkan dalam tahun ini tetapi tarikhnya belum ditentukan lagi,” ujarnya yang berharap kehadirannya diterima peminat.
Tidak tolak peluang
Saat ditanya tentang peluang lain yang menanti selepas bergelar juara bersama Elyana, Intan lantas tersenyum. Mengakui, dia dan Elyana tidak mempunyai sebarang perancangan lain, Intan bagaimanapun bersedia menerima jika ditawarkan untuk merakamkan lagu duet.
Bukan itu sahaja, Intan turut mengakui tidak sabar untuk mengetahui respons daripada peminat tentang kehadiran single baharu itu.
Andai respons yang diterimanya positif, dia tidak akan menolak peluang untuk merakamkan sebuah album penuh.
“Buat masa ini, saya dan Elyana tidak mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu. Sekiranya diberikan peluang, saya tidak akan menolaknya. Begitu juga dengan tawaran untuk menyertai pertandingan nyanyian yang lain.
“Berkenaan album pula, buat masa ini saya ingin memberi sepenuh fokus kepada single baharu. Jika peminat menyambut baik lagu tersebut dan ada rezeki, saya akan merakamkan sebuah album penuh pula,” bicaranya sambil memberitahu lebih selesa bergerak sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan