Program realiti terbaharu Astro, Gempak Superstar yang membuka tirainya di Studio Pinewood di sini semalam menampilkan 10 pelakon tanah air berentap dalam bidang nyanyian.
Biarpun baru sahaja tamat episod pertama, persembahan peserta mendapat pelbagai reaksi berbeza serta kritikan daripada penonton termasuk juri tetap yang terdiri daripada Fauziah Ahmad Daud, Micheal Ang dan Amy Mastura.
Menurut tenaga pembimbing, Datuk Ramli MS, masih terlalu awal untuk memberi kritikan kepada semua peserta kerana bidang seni suara bukan bidang mereka yang jelas tidak mempunyai pengalaman luas.
Katanya, para peserta sudah memberikan persembahan terbaik pada minggu pertama mengikut apa yang dipelajari dalam tempoh yang singkat.
“Kita kena faham bahawa kesemua peserta ini bukanlah penyanyi profesional. Jadi untuk memberi kritikan dari sudut pandang vokal dan teknik nyanyian adalah tidak wajar kerana mereka masih mentah dalam bidang nyanyian.
“Masih terlalu awal untuk mengkritik memandangkan mereka mempunyai masa yang suntuk untuk membuat persiapan. Tambahan pula mereka perlu menyelitkan unsur lakonan dalam persembahan,” katanya ditemui di sini semalam.
Program Gempak Superstar itu menampailkan penyertaan pelakon seperti Soffi Jikan, Raja Iylia, Nazim Othman, Siti Elizad Sharifuddin, Arja Lee, Tasha Shila, Dazrin Kamarudin, Izreen Azminda, Ryzal Jaafar dan Sheery Ibrahim.
Juara pertandingan tersebut akan membawa pulang hadiah RM100,000 berserta trofi diikuti naib juara (RM25,000), tempat ketiga (RM15,000) dan tempat keempat (RM10,000).
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, program yang berlangsung selama enam minggu itu akan menyaksikan peserta diberi tema berlainan setiap minggu.
“Tema yang berlainan pada setiap minggu bertujuan mencabar peserta menyampaikan lagu dalam pelbagai genre. Program ini menggunakan sistem pemarkahan 50 peratus oleh juri tetap dan selebihnya ditentukan berdasarkan undian penonton,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan