Berbeza dengan selebriti lain yang tidak kisah berkongsi gambar anak di laman sosial, selebriti Lisa Surihani mengakui belum bersedia mendedahkan puteri sulungnya, Yahaira Leanne kepada umum.
Menurut pelakon dan pengacara terkenal itu, dia bersama suaminya, Yusry Abdul Halim tidak merancang membuka akaun media sosial Yahaira.
Anak masih kecil lagi dan dia belum memahami keadaan sekeliling. Saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak lain.
“Apabila sudah pandai menggunakan teknologi, barulah kami benarkan dia buat keputusan sendiri,” katanya ketika ditemui di majlis siaran langsung Oscars 2016, baru-baru ini.
Berkongsi kehidupan baru sebagai ibu, Lisa mendedahkan perasaan rindu terhadap Yahaira sentiasa ada walaupun hanya beberapa jam berjauhan dengan anaknya itu. Ibu dan mentua membantu menjaga Yahaira apabila saya serta suami bekerja.
Setiap kali keluar rumah tanpa Yahaira, saya dan Yusry akan merinduinya setiap masa. Walaupun ada keluarga menjaga Yahaira, saya akan bergegas pulang ke rumah sebaik kerja selesai kerana tidak sabar berjumpa dengannya.
“Rasanya semua ibu begitu. Itulah yang dikatakan kasih sayang ibu kepada anaknya, tidak betah berjauhan,” katanya.
Lisa turut menzahirkan rasa syukur apabila pihak yang bekerjasama dengannya memahami situasinya sebagai ibu yang perlu menyusukan anak.
Saya akan membawa Yahaira bersama ke tempat kerja, bergantung kepada keadaan. Kalau tidak, saya akan tinggalkan stok susu mencukupi.
“Saya ada terikat dengan beberapa jenama dan mereka sangat memahami situasi saya. Jadi mereka akan menyusun jadual mengikut keselesaan saya supaya ada masa untuk menjaga dan menyusukan anak,” katanya.
Ujar bintang filem Ombak Rindu itu lagi, dia dan suami sepakat bergilir-gilir menjaga Yahaira.
“Kami tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan anak membesar depan mata. Tambahan pula rutin anak sentiasa berubah apabila semakin membesar.
“Saya dan Yusry jarang keluar berdua dan pasti bawa Yahaira bersama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan