• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    SAKSIKAN MALAM KEAJAIBAN CINTA ROSSA DI ISTANA BUDAYA


    Sebut saja nama Datuk Rossa pastinya sinonim dalam kalangan penggiat dan peminat muzik tempatan.Penghibur terkenal dari Indonesia ini nyata memiliki aura pesonanya yang tersendiri.

    Pun begitu, bagi peminat Rossa di negara ini pastinya teruja untuk menyaksikan konsert solo pertama Diva Pop Indonesia itu yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Mei ini jam 8.30 malam.

    Persembahan selama dua malam berturut-turut sempena Hari Ibu itu bertemakan Malam Keajaiban Cinta Rossa.

    Ditemui pada sidang media kedua untuk konsert itu kelmarin, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani berkata, bagi memantapkan persembahan seperti dijanjikan buat peminat, beliau turut mengundang tiga penyanyi lelaki terkenal.

    Katanya, salah seorang daripada mereka dan pastinya penghibur kelahiran Malaysia ialah Joe Flizzow, manakala dua lagi penyanyi yang turut diundangnya masih dirahsiakan.

    “Apa yang boleh saya beritahu, dua lagi penyanyi undangan yang namanya dirahsiakan itu adalah dalam kalangan teman rapat saya di Indonesia. Mereka sudi bersama-sama saya menjayakan konsert ini.

    “Begitu juga dengan Joe, kami sudah bersahabat baik sejak empat tahun lalu dan saya juga pernah merakamkan dua lagu duet bersama dengannya iaitu One Night Lover dan terbaru, Katakan.

    “Saya sangat menyenangi dan selesa bekerjasama dengan Joe, apa lagi dalam satu persembahan konsert besar seperti ini. Saya sangat berbesar hati juga apabila Joe sudi untuk terbabit sama,” katanya.
    Rossa berkata, ketika dia mendapat peluang untuk mengadakan konsert solo di IB, memang nama Joe yang pertama terlintas di fikirannya sebagai salah seorang penghibur undangan.

    Katanya, pengalaman mengadakan persembahan bersama Joe di luar negara beberapa tahun lalu menerusi lagu One Night Lover itu, mereka mampu mewujudkan keserasian beraksi di pentas dengan selesa.

    “Joe, pada saya seorang yang sangat unik dan berbakat besar dalam muzik terutama bergenre hip hop. Saya sendiri teruja ketika kami sama-sama bergandingan merakamkan lagu One Night Lover itu.

    “Jadi, apabila kami sekali lagi berpeluang kerja bersama merakamkan lagu Katakan nampaknya keserasian lebih mantap. Justeru, Joe menjadi pilihan saya,” katanya.

    Mengulas mengenai mungkin ada segelintir peminat yang menginginkan Hafiz Suip bergandingan bersamanya pada konsert itu, Rossa berkata, beliau dan Hafiz memang sudah serasi.

    “Namun, untuk konsert di IB ini yang bertemakan Malam Keajaiban Cinta Rossa pastinya saya ingin memberi kejutan buat peminat. Jadi, elemen kejutan ini pasti lebih menghiburkan nanti.

    “Saya mengharapkan peminat memberi ruang kepada saya untuk mencorakkan keajaiban cinta yang dijanji. Apapun, saya akan pastikan penonton konsert ini terhibur,” katanya.

    Berbicara soal debaran dirasai, Rossa berkata, sudah pasti ia tak mampu dielaknya. Apatah lagi, IB adalah pentas persembahan berprestij di Malaysia dan tidak semua penyanyi mendapat peluang beraksi di IB.

    Sehubungan itu, setakat ini jualan tiket untuk konsert Malam Keajaiban Cinta Rossa mendapat sambutan menggalak. Sebanyak 80 peratus tiket sudah dijual.

    Bagi orang ramai serta peminat Rossa yang ingin menyaksikan konsert penuh keajaiban penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta dan Pudar ini, boleh dapatkan tiket pada harga ditetapkan di antara RM78 hingga RM518.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan