• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    AYAH SITI SARAH PALING TERKESAN DENGAN PEMERGIAN ANAK TERSAYANG


    "Saya rasa dunia menjadi sepi, sesepinya...," Demikian luahan hati Raissuddin Hamzah, 61, mengulas kehilangan anak tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19, pagi kelmarin.


    Berkongsi perasaan kali pertama selepas pemergian anak keduanya itu, Raisuddin menyifatkan, apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.


    Namun, penyanyi dan pelakon era 1980-an itu berkata, kehilangan arwah memberi kesan hingga membuatkannya tidak berdaya berkata apa-apa.


    "Apa yang terjadi adalah ketentuan yang ditetapkan Allah. Bukan rancangan kita atau sesiapa.


    "Apabila perkara ini terjadi saya hilang kata-kata. Sampailah pada hari kejadian, Shuib datang berjumpa, senyum dan melutut di hadapan saya sambil menyatakan Siti Sarah sudah tiada.


    "Saya rasa anda semua boleh faham bagaimana perasaan saya ketika itu," katanya pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual untuk Allahyarham Siti Sarah, semalam.


    Baru sahaja selesai menjalani kuarantin kendiri berikutan menjadi kontak rapat keluarga anaknya, Raissuddin berkata, pertanyaan soal kehilangan paling sukar dijawab berbanding soalan lain yang sering diajukan kepadanya ketika masih menguruskan kerjaya seni arwah.


    "Jika dahulu saya didatangi wartawan bertanyakan soalan ketika zaman arwah aktif menyertai pertandingan nyanyian, mudah sahaja saya untuk menjawabnya.


    "Tetapi, soalan ini (kematian) sukar. Cuma, saya berharap kita bersama mendoakan arwah tenang di sana. Kita hanya dapat mengenang sahaja, arwah pergi dan tidak akan kembali lagi," ujarnya.


    Mengulas keperibadian arwah anak hingga kisah kematiannya diangkat dan dimuliakan, Raisuddin berkata, arwah adalah anak yang baik dan mendengar kata.


    "Arwah cukup baik, tidak pernah membantah atau melawan cakap saya. Arwah akan ikut apa sahaja yang saya cakap.


    "Dari awal nak jadi penyanyi dan saya terpaksa membimbingnya, arwah memang tidak pernah berenggang dengan saya sehinggalah bertemu Shuib. Saat itu, barulah saya melepaskan arwah kepada Shuib untuk menjaganya," katanya.


    Mengimbau detik terakhir bersama anaknya, tiada pesanan diberikan, sebaliknya bahasa tubuh yang berbicara.


    "Sebelum arwah pergi ke hospital, saya baring di sofa. Saya pegang tangannya, dia pegang tangan saya, tetapi arwah tidak cakap apa-apa," ungkapnya.


    Sepanjang dipinjamkan selama 36 tahun, Raissuddin berkata, terlalu banyak kenangan manis yang dilalui bersama.


    Namun, katanya, paling membekas dalam ingatan adalah sifat manja yang dimiliki arwah anaknya itu.


    "Memang banyak kenangan manis dan kenangan tidak dapat dilupakan. Arwah anak yang cukup manja. Sifat manjanya memang diketahui ramai rakan artis lain," jelas Raissuddin.


    Pada majlis itu, Shuib berkongsi berita gembira apabila mendapat perkhabaran dibenarkan melihat anak keempatnya, Ayyash Affan yang kini masih berada di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas dilahirkan Jumaat lalu, esok.


    Namun, di sebalik teruja menatap wajah zuriatnya, bekas penyampai radio Hot FM itu mengakui, perasaannya bercampur baur.


    "Saya dihubungi pihak hospital memaklumkan mungkin saya dibenarkan melihat Ayyash. Jika ada rezeki, hari ini dapatlah saya bertemu dengan bayi yang menjadi hadiah terakhir arwah buat saya.


    "Perasaan memang seronok, tetapi ada satu lagi perasaan, sangat-sangat sedih. Kenapa sedih, sebab arwah ibu tidak sempat melihat dan memegangnya.


    "Arwah sanggup menggadaikan nyawa kerana mahu memberi hadiah istimewa buat saya, anak-anak dan seluruh ahli keluarganya," luah Shuib.


    Situasi itu, katanya, sangat berbeza ketika dikurniakan tiga cahaya mata terdahulu kerana arwah berkesempatan melihat dan memeluk anak-anaknya.


    Terdahulu, majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual turut disertai lebih 600 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, rakan industri termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan