• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    NASSIER WAHAB MENINGGAL DUNIA DI PPUM


    Penyanyi popular era 1980-an, Datuk Nassier Wahab meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, jam 12.45 tengah malam tadi.

    Berita itu disebarkan oleh penyanyi, Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan artis.

    “Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.45 pagi.

    “Mohon sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh solehin. Al-Fatihah,” tulisnya.

    Terdahulu, Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.

    Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

    Pembantu peribadinya, Aliff Salim mewakili Nassier berkata, Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang penyakit itu.

    “Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya.

    “Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya dalam satu temubual dengan Harian Metro.

    Katanya, doktor menasihatkan Nassier menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya.

    “Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.

    Menurutnya, umum memang nampak Nassier sihat, tetapi sebenarnya dia tidak mampu menahan sakit apabila masalah kesakitan akibat ketumbuhan itu menyerang.

    “Dia ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan keluar. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub membuatkan berat badannya agak susut,” katanya.

    Aliff berkata, Nassier dinasihatkan berehat secukupnya sebelum kembali menyanyi.

    “Sebelum ini Nassier memang merahsiakan kesakitannya.

    “Apabila sakit itu datang, saya terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan dengan memberi alasan jadualnya padat,” katanya.

    AL FATIHAH

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan