Sham Visa akan meneruskan perjuangannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) walaupun doktor mengesahkan dia mengalami masalah pada kotak suara dan mengambil masa lama untuk sembuh.
Sham yang juga bekas penyanyi kumpulan Visa berkata, dia tetap akan meneruskan persembahan dan tidak akan menarik diri.
“Biarlah juri yang membuat penilaian membabitkan kemampuan vokal saya, tetapi untuk menarik diri tidak sama sekali. Saya tidak mahu mengecewakan peminat yang hadir menyokong dan menyaksikan persembahan saya,” katanya.
Menurut Sham, sebelum menjalani sesi latihan bersama produksi GV6 semalam, dia sudah bertemu doktor pakar dan mengesahkan dia mengalami Chronic Laryngitis.
“Seperti yang umum tahu masalah tekak ini saya sudah alami sejak minggu lalu iaitu beberapa hari sebelum saya muncul di pentas konsert GV6 untuk minggu kelima.
“Pada mulanya saya menganggap sakit tekak dan hilang suara ini berlaku hanya sementara waktu. Tetapi apabila minggu ini ia semakin teruk, di saat saya perlu menjayakan konsert GV6 minggu keenam, malam ini membuat pihak pengurusan Mind Order Sdn Bhd membawa saya bertemu dengan doktor pakar,” katanya.
Katanya, walaupun doktor sudah mengesahkan kecederaan yang dialami dia tetap hadir untuk menjalani sesi latihan petang semalam.
“Sewaktu sesi latihan dijalankan, ramai peminat terutama ahli Shamvangers turun ke Auditorium Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) datang memberikan sokongan. Mereka memberikan kata-kata semangat kepada saya.
“Perkara itu membuatkan saya jadi kuat dan tidak mahu menarik diri. Malam ini saya akan menyanyi dengan berbekalkan doa mereka buat saya,” katanya.
Menurut Sham, jika dia tersingkir kerana status kesihatannya, dia reda tetapi apa yang penting dia sudah pun melaksanakan tanggjungjawab yang perlu dilakukan demi peminat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan