• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    DOAKAN YANG BAIK BAIK BUAT NINA ISKANDAR


    Terbaru, Nina Iskandar sekali lagi melakonkan watak isteri teraniaya dalam Isteri Dalam Sangkar. Terjemahan karakter yang disampaikan cukup cemerlang hinggakan ada peminat yang mahu dia berhenti daripada terus menerima watak sebegitu.

    “Ada peminat yang mahu saya ambil watak lebih ceria selepas ini. Bukan mereka bosan tetapi kasihan melihat saya yang selalu menangis dan menjadi mangsa dera emosi dan fizikal oleh suami.

    “Sebenarnya saya juga sudah letih membawa watak yang banyak bermain dengan emosi dalaman. Namun, sudah rezeki saya untuk melakonkan watak seperti itu. Saya juga tidak mahu menghampakan kepercayaan yang diberikan untuk menggalas watak berat,” katanya.

    Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar berkata, dia sama sekali tidak menyangka watak Siti Aisyah dalam Isteri Dalam Sangkar itu lebih berat dibandingkan wataknya sebagai Fatihah.

    Baru minggu pertama penggambaran dimulakan, Nina hampir berputus asa. Malah, dia memaklumkan kepada pengarah untuk mencari pelakon lain bagi menggantikannya.

    “Awal penggambaran saya banyak babak dengan ibu saudara dan sepupu. Ketika itulah Siti Aisyah didera. Ia sangat mencabar kerana setiap hari saya kena bermain dengan emosi dan air mata.

    “Bayangkan, saya perlu melakonkan watak ditolak kemudian menangis dan kena simbah air. Lokasi penggambaran pula di Cameron Highlands. Keadaan yang sejuk membuatkan tekanan jadi berganda,” katanya.

    Bagaimanapun, Nina cekalkan hati untuk menyelesaikan keseluruhan penggambaran. Disebabkan watak itu dia hampir berdepan masalah kemurungan dan menjauhkan diri daripada orang lain.

    Mengimpikan masa rehat yang panjang, Nina bagaimanapun sudah lama tidak mempunyai masa untuk bercuti. Balik kampung baru dua kali tahun ini sedangkan dia selalunya pulang tiga bulan sekali.

    “Saya teringin untuk cuti apatah lagi selepas berlakon dengan watak berat. Saya mahu rehatkan minda. Memang ada cuti tetapi terpaksa dipendekkan kerana perlu mulakan penggambaran,” katanya.

    Baru-baru ini, Nina terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai penggambaran Setelah Cinta Itu Pergi. Akibat kemalangan itu, Nina mengalami retak tulang belakang dan bibir koyak.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan