• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    AZIRA DFAM SEMAKIN HOT?


    Hadir dengan pakej lengkap sebagai anak seni, nama Azira Shafinaz kian meniti di bibir peminat.

    Bukan saja dikenali sebagai penyanyi bersama DeFam tetapi turut mencipta nama dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

    Tidak hanya bersandarkan pada paras rupa semata-mata, Azira membuktikan bakat dimiliki jauh lebih bernilai. Ia sekali gus menjadikan Azira antara permata baru seni yang akan terus bersinar.

    Terbaru, Azira mencuri perhatian menerusi drama Seribu Rindu yang kini ditayangkan di slot Akasia, TV3.

    Walaupun sebelum ini ramai yang kurang percaya dengan bakat lakonannya, Azira akhirnya menepis persepsi itu dengan menampilkan mutu lakonan terbaik dalam drama itu.

    Menurut Azira, dia menyukai watak dibawa kerana inginkan warna dalam setiap lakonan. Malah, Azira mempunyai sasaran tersendiri dalam bidang itu.

    “Berbanding watak dalam drama Mr Donut Karamel dan Villa Ghazara, saya lebih suka watak dalam drama ini. Apatah lagi saya boleh bermain dengan emosi.

    “Jika selalu melakonkan watak sama, nanti lakonan mendatar saja.

    “Disebabkan itu, jika ada tawaran menarik dari segi watak saya takkan lepaskan peluang. Lagipun, dalam lakonan saya ada sasaran nak bekerja dengan pengarah dan pelakon tertentu,” katanya.

    Azira berkata, sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan dia belajar banyak perkara terutama erti kehidupan.

    Malah, Azira menyifatkan kerjaya lakonan lebih dihargai berdasarkan maklum balas diterima setiap kali dia muncul dalam drama baru.

    “Kalau boleh dalam setahun saya nak ada satu drama. Saya bukan jenis tamak nak buat ‘job’ tanpa henti.

    “Saya juga ada perkara lain nak dibuat iaitu nyanyian dan pengacaraan. Jadi, penting untuk saya memilih naskhah yang dirasakan berbaloi untuk dibuat.

    “Sejujurnya, apabila terbabit dalam lakonan saya berasa lebih dihargai. Berbanding menyanyi, orang akan suka sekejap saja iaitu kalau ada lagu baru. Ini apa yang saya rasa dan tak ada kaitan dengan mana-mana pihak.

    “Apa boleh dikatakan, bidang lakonan ini mengajar saya erti hidup terutama ketika melakonkan pelbagai watak. Ia membolehkan saya menjiwai setiap watak,” katanya.

    Ada jurang dengan Zul Ariffin

    Bercerita mengenai gandingannya dalam Seribu Rindu iaitu Zul Ariffin, Azira yang juga pengacara program PopTV Expres di saluran ntv7 berkata, Zul berbeza daripada kebanyakan hero yang pernah berlakon dengannya sebelum ini.

    “Saya jenis kalau nak cari keserasian dengan pasangan hero, saya kena bercakap dan selesakan diri dengan orang itu.

    “Cuma, apabila berlakon dengan Zul kami ada sedikit jurang. Dari hari pertama, saya cuba untuk memahami dan menari rentaknya.

    “Apabila sudah dapat keserasian, baru saya tahu dia memang jenis begitu. Malah, daripada sikapnya, saya belajar banyak perkara dalam lakonan.

    “Memandangkan dia suka menampilkan lakonan bersahaja, saya kena ikut. Dalam erti kata lain, lakonan yang secara semula jadi.

    “Jadi, kalau perasan kebanyakan babak membabitkan kami nampak hidup. Sedikit sebanyak ia mengajar saya teknik lakonan yang jarang-jarang dibuat sebelum ini.

    “Kiranya, setiap kali berlakon dengan orang lain saya dapat ilmu baru. Ia bagus untuk saya,” katanya.

    Berkongsi mengenai kerjaya nyanyian pula, Azira berkata, DeFam bakal muncul dengan single baru tahun depan.

    “Buat masa sekarang, DeFam berehat seketika. Bukan berpecah seperti yang selalu orang perkatakan.

    “Sebenarnya, kami dalam proses nak menyiapkan lagu baru. Insya-Allah, tahun depan.

    “Lagipun, sekarang masing-masing sibuk dengan kerjaya solo. Kalau sebelum ini saya seorang saja. Bagi saya, ia bagus untuk profil kerjaya kami.

    “Dalam masa sama, apabila aktif berlakon saya boleh berkenalan dengan ramai orang baru. Sebab ramai tak tahu saya dari kumpulan DeFam,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan