• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    JANGAN TERKEJUT AMAN SHAH MASIH AKTIF MENYANYI


    Setiap kali menjelang Aidilfitri, lagu nyanyian Aman Shah berjudul Kepulangan Yang Dinanti menjadi antara lagu malar segar yang ditunggu-tunggu pendengar.

    Kelunakan suaranya ditambah dengan melodi memikat dan lirik menarik membuatkan lagu ciptaan Omar Taib serta lirik A S ini mudah ‘menangkap’ di hati peminat.

    Terbaru, menerusi populariti lagu ini, Aman, 64, diundang menjayakan rakaman program Ketupat Rendang Jalinan Kasih 2018 terbitan Radio Klasik yang disiarkan sempena Aidilfitri nanti.

    Aman yang ditemui mengakui dirinya begitu laris dengan tawaran menyanyi pada Ramadan dan Syawal.

    “Alhamdulillah ada tawaran menyanyi di sini dan Singapura. Saya juga aktif berlakon drama, tapi sepanjang Ramadan memang saya banyak berehat.

    “Lagipun, saya lihat di TV sekarang banyak drama lama lakonan saya kembali ditayangkan antaranya Patah Sayap.

    “Selain itu, saya juga mengusahakan studio rakaman di Seremban. Studio ini digunakan untuk ‘jamming’ dan rakaman. Biasanya saya buat susunan muzik dan bermain alat muzik mengikut permintaan,” katanya.

    Aman berkata, dia masih aktif menyanyi di merata lokasi seperti Sabah dan Kuala Lumpur sekali gus menafikan sudah bersara.

    “Saya tak pernah berhenti, cuma kadang-kadang saja aktif berlakon. Saya pun pernah buat perniagaan sewa kamera untuk produksi filem dan projek rakaman video. Pendek kata selagi orang pang­gil, saya akan buat apa yang terdaya.

    “Biasanya dalam persembahan, peminat akan minta saya menyanyikan lagu Adikku Pandai Menari tapi malangnya muzik dalam minus one yang saya hasilkan berkonsep tekno.

    “Saya sukar nak menya­nyikannya kerana muziknya lain. Saya cuba buat pembaharuan dan rakam lagu ini dalam bentuk tekno. Sebenarnya lagu ini mulanya nak dipasarkan oleh satu syarikat rakaman, namun saya akhirnya menolak kerana berasa apa yang ada sudah mencukupi dengan usia saya,” katanya.

    Aman tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak kerana akan membuatkannya hilang fokus terhadap dunia barunya.

    “Saya tak nak lagi terlalu duniawi. Saya sekarang terpaksa tarik diri sikit dan perlu lebihkan fokus ke alam akhirat. Saya mengaku dulu terlalu sibuk dengan karier sebagai artis dan terleka.

    “Alhamdulillah sekarang saya cukup masa untuk dunia dan akhirat. Itu yang penting bagi saya sekarang.

    “Saya banyak muhasabah diri setiap kali berada di rumah. Itu yang bagusnya kalau tak sibuk kerana banyak masa boleh digunakan untuk berfikir dan merenung apa yang akan berlaku,” katanya.

    Menurut Aman, perubahan yang berlaku dalam dirinya ini bermula selepas usianya mencecah 50-an.

    “Dulu saya tak dapat buat amal ibadat kerana terlalu fokus pada kerjaya. Jadual dan masa memang padat. Rasanya artis sekarang pun kalah dengan artis zaman saya. Kadang-kadang nak balik rumah pun tak sempat,” katanya.

    Selesa hidup solo

    Bercerita kisah peribadi, Aman mengakui sudah hidup solo sejak enam tahun lalu. Dia boleh menerima takdir hidupnya dan tetap menjalani kehidupan seperti biasa.

    “Insya-Allah kebahagiaan sebenar sudah ada dalam hati dan jiwa saya. Saya dah tahu apa yang saya cari.

    “Bagaimanapun, saya tak tutup pintu hati terhadap wanita kerana memang ada orang yang sudi menjadi peneman saya. Cuma, syarat yang saya bagi kepadanya agak berat juga.

    “Dulu saya tiada syarat untuk wanita dan kalau suka terus kahwin. Sekarang saya kena duduk dengan wanita itu dan jelaskan ciri-ciri yang saya nak,” katanya.

    Sekiranya Allah izinkan, Aman mahu memilih wanita yang solehah sebagai isterinya. Manakala wanita itu perlu mencabarnya menjadi suami yang soleh.

    “Sekiranya kami berdua gagal jadi apa yang diinginkan, baiklah kami jangan kahwin kerana keadaan bukan jadi lebih baik tapi lebih teruk,” katanya.

    Aman pernah berkahwin tiga kali. Dengan isteri pertama, dia mempunyai seorang anak dan dia kini mempunyai empat cucu.

    Menerusi perkahwinan kedua, dia mempunyai tiga anak yang kini menetap di Singapura. Dengan bekas isteri ketiga, dia dikurniakan dua anak yang kini berada di tingkatan satu dan tahun satu.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan