• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ABAM BOCEY NEKAD TURUN BERAT BADAN DEMI FILEM AKSI


    Anggota kumpulan Bocey, Abam tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya sudah cukup popular dalam kalangan peminat komedi tanah air. Walaupun berbadan gempal, ia tidak menjadi penghalang buat anak seni itu memacu kerjaya seninya.

    Pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan berazam melakukan perubahan dalam kariernya. Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukannya adalah menurunkan berat badan.

    Abam nekad menurunkan berat badan sehingga 100 kilogram (kg). Dia yang sudah mula mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam berjaya menurunkan berat sebanyak 21.6kg.

    “Dulu, berat saya 188.6 kilogram. Oleh kerana ingin membuat perubahan dalam karier, saya mula bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat. Sekarang, berat saya 167 kilogram.

    “Apa yang saya lakukan ini bukanlah atas desakan orang lain tetapi atas inisiatif diri sendiri. Saya memasang impian untuk berlakon dalam cerita aksi, oleh itu penting turunkan berat badan,” katanya.

    Terkenal dengan ‘tagline’ Gemuk Is Awesome, Abam percaya kata-kata itu mampu memberikan semangat kepada mereka yang berbadan besar. Dia tahu, ramai kurang keyakinan diri apabila bertubuh gempal.

    Tegasnya, walaupun dalam misi mengurangkan berat badan dia akan tetap menggunakan ‘tagline’ berkenaan untuk menyebarkan aura positif agar mereka berbadan besar seperti dirinya akan terus berusaha membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

    “Orang mungkin akan berasakan ‘tagline’ itu tidak lagi relevan untuk saya gunakan kerana saya sendiri dalam proses menurunkan berat badan. Hakikatnya, ‘tagline’ ini kata-kata semangat untuk mereka yang mempunyai saiz badan sama seperti saya.

    “Menerusi ‘tagline’ ini saya ingin sebarkan aura positif agar mereka terus mencari ruang dan peluang serta berfikiran positif dalam usaha menjadikan diri kita lebih baik,” katanya.

    Berkongsi cerita mengenai cabaran menurunkan berat badannya, Abam berkata, dia mengalami kesukaran untuk mengawal nafsu makan.

    Bagaimanapun, dia bersyukur kerana isterinya, Siti Norhidayah Mohd Ali dan pembantu peribadi turut sama mengawal pemakanannya.

    “Apabila kita berdiet, bukan mudah nak kawal nafsu makan. Ketika itulah ada saja orang yang ajak kita keluar minum dan makan. Kalau kita tidak kuat, memang mudah terpengaruh.

    “Mujurlah ada isteri dan pembantu peribadi yang sentiasa pantau serta kawal pemakanan saya. Mereka banyak membantu saya,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan