• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    FARAH AF LUAH KEKESALAN ALBUM KEDUANYA GAGAL DITERBITKAN


    Penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar atau Farah, 32, kecewa apabila album keduanya yang diterbitkan pada 2009 terperap sehingga kini apabila syarikat pengurusannya tiba-tiba ditutup.

    Bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua itu juga kesal kerana semua lagu dalam album kedua itu adalah lagu pilihannya.

    “Album kedua itu sangat istimewa kerana semua yang terbabit dalam pembikinan album itu termasuk komposer ‘mendengar’ cakap saya. Mereka beri kebebasan untuk menyanyikan lagu yang saya suka.

    “Namun lain yang dirancang, lain pula jadinya. Abah terpaksa memujuk saya dengan mengatakan ia adalah dugaan dan mungkin ada peluang lain yang menunggu,” katanya.

    Pada waktu sama Farah mendapat tawaran mengacarakan program Rasa Halal Orient di Astro Oasis, musim satu hingga lima.

    Diberi kepetahan berkata-kata akhirnya hati yang gundah-gulana terubat jua kerana mengacarakan program itu turut membawanya menjelajah ke negara ASEAN mencari makanan halal di sana.

    Selain itu, Farah juga mengacarakan Fulus Mania (Durian Runtuh) , Generasi Asli 1Malaysia dan Nasi Lemak Kopi O di TV9.

    Selepas berkahwin dengan Johan Johari pada 2011, mereka menetap di Pulau Pinang kerana suami mempunyai perniagaan di sana.

    Pasangan itu kini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alsa, 5 dan Mya, 2.

    Kerjaya seni Farah perlahan buat seketika kerana Alsa menyusu badan sehingga dia berusia dua tahun dan agak sukar untuk Farah menerima tawaran kerja di Kuala Lumpur.

    “Ada tawaran mengacara dan sebagainya tetapi perasaan untuk kembali aktif itu dipendamkan kerana Alsa kecil lagi. Sekarang dia sudah berusia lima tahun dan berasakan agak sesuai untuk saya memulakan semula kerjaya seni. Jadi, saya menerima tawaran sebagai pengacara Assalamulaikum di TV Alhijrah.

    “Waktu kerja pun tidaklah terlalu padat. Dalam seminggu saya bersiaran dua atau tiga kali saja. Kadang-kadang menggantikan pengacara lain yang bercuti.

    “Memandangkan Alsa sudah besar dan tidak sukar lagi untuk menjaganya maka dia tinggal bersama bapanya di Pulau Pinang dan saya membawa Mya ke Kuala Lumpur,” katanya.

    Ketika berada di Kuala Lumpur, dia tinggal bersama keluarga di Bangi dan ketiadaan Farah kerana bersiaran di TV Alhijrah, Mya dijaga datuk serta neneknya.

    “Tidaklah saya bimbang kerana anak berada di bawah jagaan yang selamat. Dua minggu sekali saya pulang ke Pulau Pinang atau suami akan ke Kuala Lumpur bersama Alsa,” katanya.

    Selain itu, Farah juga dalam perancangan menerbitkan single baru dan sebelum ini dia cuba menyanyikan lagu orang lain untuk melihat dulu reaksi peminat.

    “Ada yang mencadangkan saya merakamkam single baru kerana alang-alang nak buat ‘comeback’, lebih baik saya menyanyikan lagu sendiri,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan