• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ZARUL TIDAK SESAL LEPASKAN KERJAYA YANG LALU


    Zarul Umbrella tidak menyesal dengan keputusan meletak jawatan sebagai pramugara untuk lebih aktif sebagai penyanyi.

    Zarul, 44, yang kini dikenali sebagai Zarul Husin berkata, dia bersyukur kerana keputusannya tidak sia-sia apabila rezeki kian murah sejak menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ketiga tahun lalu.

    Selain itu, Zarul turut laris sebagai pelakon dan kini perlu bijak menyusun jadual seni.

    “Alhamdulillah selepas tamat GV3 saya mula menceburkan diri dalam lakonan. Disebabkan tawaran itu mula datang, apa salahnya saya cabar diri untuk mencuba.

    “Saya juga diberi peluang meminjamkan suara untuk filem animasi The Secret Life of Pets versi bahasa Malaysia dan ini satu pengalaman baru buat saya,” katanya.

    Zarul berkata, pastinya berbeza apabila berlakon dan meminjamkan suara. Walaupun meminjamkan suara dia juga perlu berlakon tetapi orang tidak nampak.

    “Saya anggap ia pengalaman dan keterujaan yang baru buat saya. Pastinya ia mempunyai cabaran tersendiri.

    “Saya memang tidak ada pengalaman, tetapi tidak serik untuk mencuba dan berharap berpeluang meminjamkan suara untuk filem lain pada masa akan datang,” katanya.

    Selain itu, Zarul juga turut terbabit dalam drama episod bertajuk Mr Darling Inspektor Danial yang bakal disiarkan di saluran Astro tidak lama lagi.

    Apa yang pasti, Zarul berjaya membuktikan usia 40-an bukan alasan untuk tidak mendapat tawaran berlakon sebaliknya jika sudah rezeki rebutlah peluang yang sedia ada.

    “Saya anggap masih diberi peluang menyanyi dan berlakon pada usia begini adalah rezeki yang tidak boleh saya tolak.

    “Apabila melihat artis lain yang seusia mampu melakukannya, mengapa saya tidak? Walaupun orang melihat seperti ligat berlakon, tawaran menyanyi masih saya terima pada setiap hujung minggu,” katanya.

    Zarul berkata, dia turut berkongsi perkembangan seninya setiap hari di laman Instagram untuk makluman peminat. -Syanty Octavia Amry

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan