
Ketika masalah rumah tangga pasangan pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil terbongkar dan mula heboh diperkata, kedua-dua mereka masih memendam kata. Tidak satu kenyataan dikeluarkan, biarpun sehari dua ini, berpusu-pusu media cuba mengorek rahsia.
Diana baru-baru ini seperti dilaporkan oleh media hujung minggu lalu, dikatakan telah membawa kes rumah tangga mereka sehingga ke mahkamah. Ini lantaran kekecewaannya terhadap apa yang berlaku dalam kehidupannya dengan aktor berkenaan.
Diana turut mengakui segala masalah turut berpunca daripada dirinya, memandangkan tempoh perkahwinan mereka yang baru mencecah usia empat tahun.
Ironinya, ketika Diana meluahkan kekecewaan kepada media, Farid pula cuba memberi justifikasi berbeza. Menerusi laman sosialnya, lelaki ini masih rancak memuat naik gambar dan status seolah-olah masih lagi utuh. Malah, peminat juga masing-masing meninggalkan komen positif mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka.
Biarpun Farid tidak menjawab sebarang panggilan daripada media untuk mengesahkan khabar yang tersebar itu, pelakon Evolusi KL Drift ini seakan mahu menjawab persoalan hanya dengan gambar yang dimuat naik itu.
Apa cerita sebenar, tiada siapa yang dapat mengesahkan apa-apa. Masing-masing mendiamkan diri biarpun pelbagai spekulasi tercetus yang sedikit sebanyak mencemarkan nama baik pasangan tersebut.
Mahligai cinta pasangan ini genap mencecah usia empat tahun. Malah, Diana juga mengakui lumrah hidup berumah tangga, ada turun naiknya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Melafazkan akad nikah pada 3 November 2012, pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhamad, 3 dan juga Aurora, 1. Rumah tangga pasangan ini tidak pernah lari daripada kontroversi.
Bermula daripada perselisihan faham antara Farid dan ibu mertuanya, Norsiah Ramli semenjak awal pernikahan lagi, ia bagaimanapun dilihat berakhir pada tahun-tahun terawal perkahwinan pasangan ini yang dilihat begitu bahagia.
Sehinggalah Diana mengesahkan kepada sebuah akhbar hujung minggu lalu dia ada pergi ke Mahkamah Syariah, perihal mereka mula diperkata. Bagaimanapun Diana tidak mahu mendedahkan atas tujuan apa dia ke mahkamah.
Pun begitu, pelbagai spekulasi tercetus mengatakan kononnya rumah tangga mereka kini bagaikan telur di hujung tanduk.
Namun, barang diingat, selagi tiada kata putus atau apa juga kenyataan yang keluar daripada mulut pasangan tersebut, tidak usah kita mencetuskan apa juga provokasi mahupun cerita sendiri. Semoga kembali aman buat pasangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan