
Gambar dari hLive!
“Alhamdulillah semua perancangan untuk majlis perkahwinan kami berjalan lancar. Syukur kerana impian saya untuk memperisterikan Amyra akhirnya menjadi kenyataan.
“Amyra mempunyai sikap kewanitaan yang sangat menepati ciri-ciri gadis idaman saya selama ini. Keyakinan saya semakin kuat untuk mengahwininya selepas mengenali hati budi dia dan keluarganya.
“Atas desakan dalam diri untuk segera mengahwininya, saya tidak berlengah-lengah lagi untuk menghantar rombongan merisik Amyra pada September tahun lalu selepas hati ini yakin dia adalah isteri dan ibu kepada cahaya mata yang bakal dilahirkan nanti.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk memiliki Amyra memandangkan pada waktu itu hanya saya seorang rakan lelaki yang rapat dengannya,” cerita Amar berkongsi pengalaman mendekati suri hatinya sebelum ini.
Amyra juga mengakui masih tidak mempercayai dia kini sudah bergelar isteri kepada lelaki yang pernah menjadi pasangannya dalam drama Suamiku Encik Sotong yang ditayangkan dua tahun lalu.
Ini kerana Amyra pernah melalui pengalaman yang kurang menyenangkan apabila perancangan untuk berkahwin dengan seorang aktor pernah musnah sebelum ini.
Pun begitu, Amyra menegaskan dia tidak mahu mengungkit kisah lalu kerana yang menjadi fokus utama dalam kehidupannya pada hari ini adalah bersama Amar, suami yang dicintai.
“Saya sama sekali tidak akan memandang masa silam saya kerana yang penting adalah masa depan saya dengan Amar. Dia menjadi keutamaan saya kini.
“Tidak adil jika saya berterusan memandang ke belakang sedangkan saya sendiri sudah mempunyai fokus dan tanggungjawab baharu,” tegas Amyra.
Pada majlis pernikahan itu, Amyra menerima mas kahwin sebanyak RM 1,111, wang hantaran berjumlah RM50,000 beserta tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki dan dibalas lima dulang di pihak perempuan.
Amar dan Amyra mulai rapat selepas bergandingan dalam drama Cik Bunga Encik Sombong dan mengikat tali pertunangan pada 22 Julai lalu.
Majlis resepsi di pihak perempuan diadakan semalam di hotel yang sama diikuti majlis bertandang di pihak lelaki yang akan berlangsung pada Sabtu (19 November) ini di Ampang, Selangor.
Kisah Cinta Kita
Bagi menambahkan lagi momen istimewa perkahwinan Amar dan Amyra, pasangan ini mengabadikan sebuah lagu berjudul Kisah Cinta Kita yang berkisah tentang percintaan mereka.
Lagu ciptaan DJ Fuzz dan Zah Amirul serta lirik ditulis Adik yang juga anggota kumpulan Viral itu memberi pengertian tersendiri buat Amar dan Amyra yang mengharapkan perkahwinan mereka dilimpahi keberkatan dan kebahagiaan buat selama-lamanya.
“Dalam perkahwinan kami percaya kesepakatan antara pasangan pasti akan lebih melancarkan hubungan. Oleh itu sebagai ketua keluarga, saya perlu lebih bersikap terbuka dengan Amyra.
“Saya sama sekali tidak akan menghalang dirinya daripada terus aktif dalam bidang seni selepas kami berkahwin kerana itu adalah minat Amyra. Lagipun saya sangat mempercayainya.
“Asalkan dia tahu kedudukannya dan begitu juga dengan saya, saya pasti semua masalah yang timbul akan segera dapat diselesaikan dengan toleransi antara kedua-dua pihak,” kata Amar.
Menyentuh soal perancangan selepas kedua-dua majlis resepsi berakhir minggu depan, Amyra memberitahu dia tidak sabar untuk berbulan madu ke Tokyo, Jepun pada 24 November ini memandangkan itu adalah percutian yang dinanti-nantikan selama ini.
Sementelah sudah lama tidak berehat panjang dan bekerja tidak berhenti-henti sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan Amyra mendambakan percutian bulan madunya benar-benar bermakna.
“Saya teringin nak melawat taman tema keriangan Disneyland di Tokyo kerana tempat itu adalah antara destinasi yang menjadi impian dalam hidup saya selama ini.
“Amar tahu saya meminati tempat-tempat sebegitu kerana saya dapat melepaskan tekanan kerja yang terbeban selama ini, “ ujarnya.
Selepas pulang berbulan madu, Amar dan Amyra akan diraikan pula pada sebuah majlis yang dianjurkan oleh Kelab Peminat Amyra Rosli Singapore yang akan berlangsung di Singapura awal Disember nanti.
Majlis berkenaan difahamkan ditaja sepenuhnya oleh kelab peminat aktres tersebut yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada pasangan suami isteri tersebut.
“Semua ini adalah rezeki,” kata Amyra.
Dan Amar juga memberitahu yang dia juga sudah bersedia andai ditakdirkan isterinya hamil selepas ini.
“Dalam soal rezeki mendapatkan cahaya mata, kami menerimanya dengan hati berbunga andai ada rezeki dalam tempoh terdekat ini.
“Kalau diikutkan perancangan, kami menginginkan empat orang cahaya mata. Tapi kalau diberi lebihpun, apa salahnya,“ kata Amar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan