
SEBAIK menyebut nama Ruhainies, tiada perkara lain yang mengingatkan peminat dunia hiburan melainkan pelbagai kisah kontroversi membabitkan dirinya sepanjang tahun ini.
Mempunyai pakej luaran yang lengkap, wajah jelita dan suara manja menggoda menjadikan dirinya sering diancam dengan jolokan artis yang ketagih lambakan publisiti murahan. Malah, setiap cerita panas yang timbul menjadi pembayang yang menghalang bakatnya daripada menyerlah.
Mengakui perkara tersebut, pemilik nama Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu tidak cepat melatah, apalagi melenting. Bagi wanita itu, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing tidak kira positif atau negatif. Namun, itu semua tidak penting kerana dia tahu hanya dirinya yang mengenal diri sendiri.
“Mungkin jawapan ini agak klise bunyinya tetapi jujur saya katakan, ia terpulang kepada masyarakat untuk berkata apa sahaja mengenai diri saya.
“Setiap yang negatif saya ambil sebagai pengajaran untuk mematangkan diri mendepani hari-hari mendatang. Apapun, cuma saya yang tahu tentang diri sendiri. Orang boleh bercakap apa sahaja tetapi yang lebih mengetahui hanya diri sendiri,” tuturnya lembut membuka perbualan ketika ditemui dalam satu sesi fotografi di Melaka baru-baru ini.
Ratu kontroversi
Tahun ini saja, satu persatu cerita ‘panas’ tentangnya menjadi bahan utama di internet mahupun dalam kalangan peminat. Bermula dengan isu perang dingin dengan seorang rakan artis, sehinggalah muncul isu penyebaran video dan gambarnya yang dirangkul mesra oleh suami kepada penyanyi Adira, Datuk Red, tersebar di internet.
Nista yang dilemparkan kepadanya dimamah hancur sehingga langsung tidak meninggalkan kesan. Bagi Ruhainies, dia mahu setiap cerita hitam itu menjadi pengajaran hidup paling berharga untuk terus mendaki menggapai impian.
Ditebak dengan situasi itu yang membuatkan dia digelar ‘ratu kontroversi’ pada saat ini, Ruhainies, 24, hanya melemparkan senyum manis.
“Kalau orang bercerita, maknanya mereka ambil berat dan peduli tentang saya. Saya tidak perlu marah sebab yakin, masyarakat hanya ingin tahu perkara tersebut, sebab itu ia menjadi panjang dan berlarutan.
“Namun, setiap perkara yang datang, baik negatif atau positif, saya terima dengan hati terbuka. Selepas kontroversi tempoh hari, saya mahu lebih berhati-hati dalam melakukan setiap perkara kerana bimbang akan mengundang cerita negatif sekali lagi,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.
Kejar impian
Biarpun nampak tenang menepis segala kata cacian yang menimpa hampir saban hari, namun gelodak dalam hatinya siapa yang tahu. Diam tidak bermakna tidak peduli tetapi diamnya mengubat jiwa lara.
Enggan terkait lagi dengan lelaki bernama Datuk Red, Ruhainies rela andai keputusan itu menutup ruang rezeki untuknya bekerjasama, sementelah sebelum ini dia pernah muncul dalam sebuah iklan hari raya terbitan syarikat milik lelaki berusia 38 tahun itu.
“Rezeki boleh dicari di mana-mana. Dunia Tuhan sangat luas. Asalkan ada usaha dan rajin untuk bekerja lebih keras. Saya tidak kisah jika keputusan saya untuk tidak lagi dikaitkan dengan dia akan menutup satu peluang kerja.
“Apa yang penting, saya mahu gosip liar tentang kami akan mati dengan keputusan itu. Ia membuktikan ketegasan dalam bentuk tindakan.
“Malah, ia tanda saya menghormati keprihatinan masyarakat yang enggan melihat saya terkait lagi dengannya, selain mahu menjaga hati kedua-dua isterinya agar tidak wujud salah faham,” tegasnya.
Keluarga pendorong
Lumrah manusia pernah mengalami pasang surut dalam kehidupan, adakalanya sesekali tersadung di pertengahan jalan. Hanya insan-insan sekeliling yang menjadi penguat semangat untuknya terus menggali kekuatan berdepan dunia luar.
Ruhainies memanjatkan syukur kerana selama menjadi bahan hentaman masyarakat, keluarga sentiasa berada di sisi dan menjadi penyokong kuatnya.
“Tipulah kalau tidak tertekan sebab perkara tersebut tidak betul. Saya mengakui, hilang semangat kerana perkara itu terjadi di luar jangkaan. Memang benar kata orang, keluarga merupakan orang yang akan sentiasa bersama kita walau dalam keadaan susah atau senang.
“Ibu dan ayah merupakan pendorong kuat saya untuk menghadapi perkara negatif seperti yang berlaku tempoh hari,” tuturnya.
Tambah Ruhainies, kakaknya yang juga pelakon Risteena Munim antara individu paling banyak memberi nasihat dan dorongan saat dia hampir tertewas dengan kecaman dunia luar.
Sebagai pelakon yang terlebih dulu menceburkan diri dalam dunia hiburan, Risteena lebih masak soal kecaman daripada masyarakat.
“Sebagai kakak, dia banyak memberi nasihat kepada saya untuk tidak terlalu pusing memikirkan kata-kata orang. Dia pesan, dunia artis memang begini, mudah terdedah dengan perkara negatif,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu ceria.
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Dia membersihkan dusta semalam tanpa mahu menoleh ke belakang. Apa yang ada dalam fikirannya kini hanyalah fokus kepada karier.
Malah biar sempat ‘dipanah’ sensasi, karier seninya berjalan lancar. Ruhainies bakal muncul menerusi telemovie Ayah Tak Pernah Kalah pada 3 Oktober depan untuk TV9 selain sedang sibuk dengan penggambaran telemovie Cik Celah Bedah dan Jejak Karmila.
“Selain itu, saya juga terlibat dalam pembikinan klip video single terbaharu kumpulan Hyperact yang berjudul Bukan Untukku. Ia akan dilancarkan menjelang hujung bulan ini,” tutupnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan