• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    FARID KAMIL DAN ISTERI KEKOK DIGANDINGKAN BERSAMA DALAM TELEMOVIE AIDILFITRI


    Pertama kali digandingkan dalam telemovie Sedikit Waktu yang bakal ditayangkan di Astro Ria sempena kehadiran Aidilfitri ini, ada rasa kekok yang bertamu di hati pelakon, Farid Kamil tatkala bersama isterinya Diana Danielle.

    Kata Farid, biarpun pada awalnya berasa kurang selesa, namun, dia begitu teruja kerana telemovie itu menjadi satu-satunya naskhah yang menampilkannya berlakon bersama selepas lebih tiga tahun melayari bahtera rumah tangga.

    “Sejujurnya saya berasa agak kekok apabila berlakon di samping Diana. Walaupun saya sedar ia hanyalah lakonan semata-mata tetapi saya kurang selesa apabila kami melakonkan watak yang tidak sama dengan kehidupan realiti.

    “Pun begitu semuanya berjalan lancar apabila saya kembali mendapatkan rentak dan menjiwai karakter yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Perdana Program Raya Astro 2016 baru-baru ini.

    Kata Farid, jika ditakdirkan dia kembali bergandingan dengan isterinya pada masa mendatang, dia teringin untuk bersatu dalam filem.

    “Kalau diberikan peluang lagi, saya pasti tidak akan menolaknya. Namun, biarlah karakter yang ditawarkan nanti bersesuaian dengan kami.

    Kalau boleh saya teringin nak bergabung dalam filem di bawah arahan Osman Ali. Saya suka caranya mengolah sebuah naskhah kerana mempunyai keunikan yang tersendiri,” katanya.

    Sementara itu, ditanya bilakah gilirannya untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan memandangkan isterinya baru saja melancarkan kafe, Farid memberitahu, dia tidak terfikir untuk mengintai peluang dalam bidang itu.

    “Saya mempunyai impian besar dalam menjadikan bidang filem sebagai punca pendapatan sampingan. Saya bercita-cita untuk menubuhkan rumah produksi suatu hari nanti.

    “Berkaitan bisnes yang diusahakan Diana, saya hanya akan menyokong daripada belakang. Saya percaya dia mampu menguruskan kafe yang diusahakan dengan sebaik mungkin.

    “Lagipun saya sentiasa berpesan kepadanya supaya setiap perkara yang ingin diceburinya dilakukan dengan sehabis baik barulah nampak hasilnya,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Farid memberitahu, dia baru saja selesai menjalani penggambaran filem J.Revolusi dan bakal ke New Zealand untuk menjalani penggambaran filem arahan Osman Ali berjudul Pinjamkan Hatiku.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan