• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    AMIRA OTHMAN POPULAR DENGAN LAGU BERHANTUNYA?


    BUKAN mudah untuk memastikan diri sentiasa relevan dalam dunia hiburan yang penuh persaingan dan hal ini diperakui anak kelahiran Johor yang selesa dikenali sebagai Amira Othman.

    Mencipta populariti sekelip mata menerusi lagu berhantunya, Hati-Hati, Amira mengakui, untuk sampai ke tahap ini perjalanan seninya tidak terukir indah lantaran diduga kegagalan terlebih dahulu.

    Melahirkan rasa syukur kerana kini semakin diterima ramai, gadis berusia 23 tahun ini sebenarnya masih tidak menyangka bahawa dia mampu meraih kepercayaan khalayak memandangkan sebelum ini pernah dikecam dan dikritik tidak layak bergelar penyanyi.

    Mengumpul baki semangat yang masih ada termasuk menyusun strategi tersendiri, Amira nekad mahu menjadikan lagu Hati-Hati melekat di jiwa pendengar.

    “Semua yang berlaku datangnya tiba-tiba. Sebelum lagu itu hits, orang tak tahu saya bertungkus lumus selama lapan bulan untuk memastikan lagu itu menjadi. Mula-mula terasa sudah hilang semangat tapi nekad juga nak ketengahkan lagu itu dan memastikan impian itu jadi kenyataan.

    “Mungkin sudah tertulis rezeki, akhirnya lagu tersebut diterima ramai. Siapa sangka, bulan kelapan di kala saya hampir putus asa, ketika itulah Tuhan menjadikan lagu itu hits. Syukur sangat-sangat,” ceritanya.

    Mengaku bahawa keluarga sentiasa menjadi tulang belakangnya, Amira turut mengakui, selama ini dia membina kekuatan diri menerusi kata-kata semangat yang diberikan oleh mereka terutama orang tuanya.

    “Sama sewaktu saya dikritik tak boleh menyanyi dan sebagainya, merekalah yang banyak memberi sokongan dan semangat kepada saya. Begitu juga kawan-kaan lain. Kalau tak ada mereka, saya pun tak pasti mampu atau tidak sampai ke tahap ini.

    “Tidaklah meletakkan diri sebagai seorang yang sudah benar-benar berjaya tetapi yang boleh saya katakan sekurang-kurangnya usaha saya berbayar juga sementelah single pertama berjudul Sesaat Untukku tidak begitu menjadi,” katanya.

    Turut gembira kerana lagu Hati-Hati dijadikan lagu runut bunyi (OST) untuk drama Sya & Syah, kata Amira itu juga antara faktor kekuatan lagu sementelah ramai penyanyi lain juga berkongsi pendapat yang sama yang lagu ost mampu memberi impak positif pada sesebuah lagu dari sudut komersial.


    Nilai persahabatan

    Cukup bahagia dengan persahabatan yang terjalin dengan teman seperjuangannya ketika menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF13), Amira melahirkan rasa bangga melihat pencapaian kerjaya masing-masing sama ada Indah Ruhaila, Faizul, Hael, Azhar, Aisyah dan Nabila Razali.

    Mengangap hubungan mereka bak adik-beradik, kata Amira, selama tiga tahun menjalin persahabatan, dia sukar berenggang dengan mereka biarpun ada yang berpendapat akan adanya persaingan antara satu sama lain sebagai artis.

    Namun bagi Amira, persaingan tidak pernah menjadi perkara pokok kerana yang penting adalah persahabatan yang telah lama terjalin.

    “Saya sendiri lambat nak naik sebab sambung pengajian sebelum ini. Apabila tengok kawan-kawan lain mara dan berjaya terlebih dahulu, itu tidak menimbulkan rasa cemburu sebaliknya satu motivasi buat diri untuk sama-sama berjaya seperti mereka.

    “Persahabatan kami sangat kuat dan sehingga sekarang pun kami masih berjumpa dan melepak bersama-sama andai punya kelapangan masa. Malah saya juga sering merujuk kepada mereka ini untuk berkongsi pendapat dan sebagainya.

    “Tidak timbul isu nak bersaing sesama kami kerana saya percaya rezeki ada untuk setiap daripada kami,” katanya.


    Hati- hati dalam bercinta

    Sengaja mencuri perhatiannya untuk berkongsi pengalaman perihal cinta sesuai dengan judul lagu hitsnya, Amira dalam tersipu malu cuma ringkas mengatakan bahawa pengalaman itu sentiasa mendewasakan.

    Pernah dikatakan menjalin hubungan dengan Azhar (Azhael), Amira enggan bercerita kisah lama namun mengakui selepas ini andai kata sudah bertemu jodoh, dia ingin sekali terus melangkah ke gerbang perkahwinan tanpa perlu membazir masa untuk bercinta.

    Bagaimanapun Amira akui, dia kini tidaklah mencari cinta yang baharu dan memberitahu hatinya masih belum dimiliki.

    “Bukanlah nak bagi ayat klise tapi betul, saya sedang menunggu jodoh tiba. Cumanya jodoh itu tak muncul-muncul lagi. Saya rasa, tanyalah kepada semua perempuan, pasti akan hati-hati dalam cinta sebab kita nak yang terbaik.

    “Tapi nak yang terbaik, kita pun kenalah jadi baik dulu betul tak? Kalau boleh, lepas jumpa jodoh yang sesuai, saya nak kahwin terus saja dan tak nak bercinta lama-lama. Penatlah,” katanya.

    Tenang kerana keluarga juga tidak pernah memaksa untuk dia mencari teman lelaki, kata Amira, dia menanam hasrat untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang tegas dan matang.

    “Lelaki garang dan tegas yang saya cari. Bukan kaki pukul atau panas baran tau. Saya nak yang boleh membimbing saya kerana kita sebagai perempuan kadang kala suka membuat keputusan mengikut emosi.

    “Lelaki yang matang tidak begitu. Saya juga suka lelaki yang jenis family man sebab saya jenis yang amat rapat dengan keluarga. Kalau dapat lelaki begitu, dia mesti akan faham situasi saya.

    “Tapi bab kahwin ini, nanti dululah sebab saya pun muda lagi. Kalau ada, adalah,” katanya.


    Air tangan sahabat

    Selesa menyanyikan lagu ciptaan sahabatnya iaitu Faizul dan Hael, Amira secara peribadi berpendapat karya dan kreativiti kedua-duanya itu punya nilai luar biasa.

    Kata Amira, siapa sangka bermula daripada sekadar perbualan santai di sebuah kedai mamak, lagu tersebut kini mampu menjadi kegemaran ramai yang disifatkan sebuah lagu ringan yang senang didengari.

    Berkongsi cerita, Amira memuji ‘air tangan’ Faizul dan Hael yang berjaya membuatkan dirinya jatuh hati cuma dengan sekali mendengarnya sehingga terbit rasa terhutang budi kepada mereka kerana menjadi antara orang penting yang membantu kerjayanya sekarang.

    Memuji Hael dan Faizul, menurut Amira, Faizul baginya merupakan seorang yang sangat menyintai dunia muzik dan tidak meletakkan nilai wang sebagai faktor utama demi melahirkan sebuah karya yang berkualiti.

    “Faizul seorang yang sangat berbakat dalam muzik dan itu adalah kekuatannya. Dia buat dengan bersungguh-sungguh dan bukan kerana wang walaupun orang lihat ini adalah sebuah industri yang menjual bakat dan karya.

    “Sementara itu Hael pula seorang yang kreatif. Lihat saja cara dia menyampaikan lagu orang lain di laman sosial. Dia boleh buat lagu orang itu tak sama dengan yang dia nyanyikan. Apabila Faizul dan Hael bergabung, bagi saya sentuhan mereka akan jadi luar biasa,” katanya.


    Lirik lagu Hati-hati OST Sha dan Shah

    Ada dua jalan cerita
    Duka atau bahagia
    Mahu pilih yang mana
    Hati masih bertanya
    Lekas, aku mahu menjawabnya

    Jaga kau hati-hati
    Takut ia dicuri
    Kelak nanti kau kan patah hati
    Mungkin akan terjadi
    Tapi masih tak pasti
    Harap engkau mengerti

    Lihat pada indah bulan bintang
    Namun hilang bila tiba siang
    Dan kerna itu ku rasa bimbang
    Untukmu cintaku

    Angin membuaikan rasa rindu
    Tapi tak seperti yang selalu
    Dan kali ini ku biar berlalu rasaku
    Jadi kau hati-hati

    Dalam cerita ada rahsia
    Rahsia engkau, aku dan dia
    Masih aku tertanya apa pengakhirannya
    Lekas aku mahu menjawabnya

    Jaga kau hati-hati
    Takut ia dicuri
    Kelak nanti kau kan patah hati
    Mungkin akan terjadi
    Tapi masih tak pasti
    Harap engkau mengerti

    Lihat pada indah bulan bintang
    Namun hilang bila tiba siang
    Dan kerna itu ku rasa bimbang
    Untukmu cintaku

    Angin membuaikan rasa rindu
    Tapi tak seperti yang selalu
    Dan kali ini ku biar berlalu rasaku
    Jadi kau hati-hati

    Wahai merpati dua sejoli
    Jangan kau terlupa
    Ikutkan hati engkau kan mati
    ikutkan rasa kau binasa

    Lihat pada indah bulan bintang
    Namun hilang bila tiba siang
    Dan kerna itu ku rasa bimbang
    Untukmu cintaku

    Angin membuaikan rasa rindu
    Tapi tak seperti yang selalu
    Dan kali ini ku biar berlalu rasaku
    Jadi kau hati-hati

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan