• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    KONTROVERSI YANG BERLAKU ADALAH PUBLISITI UNTUK FILEM DAWAI ASMARA - DATUK ROSYAM NOR


    PENERBIT dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor mempertahankan tindakannya dengan membenarkan pengarah Azma Aizal Yusoof (Isma) meneruskan penggambaran drama Dawai Asmara walaupun dia telah dilaporkan mengasari pelakon Ika Nabella.

    Menyifatkan dia lebih tahu dengan apa yang terjadi di dalam 'rumahnya', Rosyam berkata, dia kesal dengan komen sesetengah pihak yang mempersoalkan keputusannya ketika menangani kontroversi pembikinan drama terbitannya itu.

    "Saya bukan baharu semalam menjadi penerbit dan bukan baru berkecimpung di dalam industri seni. Saya tahu apa yang terbaik untuk syarikat dan industri.

    "Saya tahu ramai yang mempersoalkan keputusan saya tidak memberhentikan penggambaran drama Dawai Asmara dan juga tidak memberhentikan Isma.

    "Orang luar jangan sewenangnya masuk campur dan mempertikaikan kenapa saya tidak hentikan Isma. Saya buat begitu kerana ada sebab yang kukuh.

    "Jadi janganlah bagi komen seolah-olah saya tidak peka dengan industri," katanya ketika ditemui pada satu sidang media khas di pejabatnya, baru-baru ini.

    Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai perkara itu, Rosyam berkata, biarpun isu tersebut hanya melibatkan Isma dan Ika, namun dia harus memikirkan keseluruhan produksinya.

    "Saya tidak terus hentikan Isma kerana beberapa sebab, pertama; ia melibatkan jadual semua artis yang terlibat di dalam pembikinan drama ini. Kalau saya hentikan pembikinan drama ini, macam mana dengan jadual artis yang lain.

    "Kedua; kerana ketika itu Isma belum lagi dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah selepas ia menjadi kes polis," ujarnya.

    Tambah Rosyam, setelah menunggu keadaan reda, dia sememangnya bercadang untuk memberhentikan Isma, namun pengarah itu terlebih dahulu memilih untuk menarik diri.

    "Antara sebab lain saya memilih untuk memberhentikan Isma selepas keadaan reda dan saya tidak mahu Isma tertekan, kerana ramai sedia maklum Isma menghidap Bipolar Disorder.

    "Ketika hari dia naik ke mahkamah pada 13 November dan dijatuhkan hukuman bersalah, saya memang berhasrat untuk memaklumkan yang saya akan berhentikan dia, tetapi dia terlebih dahulu memaklumkan kepada saya untuk menarik diri dan bertanggungjawab dengan kesilapannya.

    "Namun sekalipun dia tidak menyatakan untuk menarik diri, saya tetap akan memberhentikan dia," katanya.

    Melihat segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri, Rosyam berkata, insiden ini memberi pengajaran bukan sahaja kepada Isma dan Ika, tetapi juga kepada pihak produksi.

    Menegaskan tidak serik untuk mengambil Isma dan Ika bekerja dalam karya terbitan syarikatnya, Rosyam turut meminta stesen TV dan penerbit lain memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak.

    "Pada saya, Isma antara pengarah yang cukup berpotensi besar dan jika ada peluang saya akan kembali ambil dia bekerja pada masa akan datang. Begitu juga dengan Ika.

    "Saya lihat kontroversi yang berlaku ini adalah publisiti untuk drama Dawai Asmara dan saya harap penonton akan memilih untuk menonton drama ini," katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan