• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    BIARLAH IA TINGGAL SEJARAH - ANIS AL IDRUS


    ADAT orang bercinta ada pasang dan surut dalam perhubungan. Lebih parah apabila hubungan cinta yang diimpikan untuk ke jenjang pelamin terputus di tengah jalan.

    Lumrah orang bercinta, tidak semua hubungan akan berterusan dengan kemanisan. Meskipun hubungan yang dijalin sudah terhenti, kenangan itu tetap akan menghantui.

    Bagi Anis Al Idrus pastinya dia sendiri sedang melalui fasa tersebut. Walaupun fasa putus cinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad hampir separuh tahun ditinggalkan, kesannya masih ada.

    Adakala dia ‘sesak nafas’ untuk terus menjawab pelbagai soalan yang dilemparkan orang keliling terhadap cinta yang tidak kesampaian itu. Baginya perkara tersebut tidak harus terus diungkit-ungkit agar tidak menimbulkan polemik.

    Akur dengan kehendak orang keliling yang lebih gemar untuk mengetahui cerita cinta tak jadinya, wanita yang lebih mesra disapa dengan panggilan Anis ini berhati-hati menyusun tutur kata.

    Baginya dia seboleh-boleh enggan lagi dikaitkan dengan cerita lama memandangkan antara mereka sudah mempunyai kehidupan peribadi sendiri tanpa perlu terus dikaitkan antara satu sama lain.

    Kalau boleh saya memang tak mahu dikaitkan lagi memandangkan antara saya dan dia sudah mempunyai kehidupan sendiri dan hidup tenang selepas fasa tersebut.

    Tapi saya akur kalau orang masih bertanyakan perkara tersebut. Kalau pernah menjadi sejarah peribadi sendiri tentu orang akan bertanyakan lagi.

    “Dan sampai saat ini pun orang masih mahu mengetahui tentang perkara tersebut. Saya tetap dengan pendirian hanya bercerita hal yang tertentu sahaja. Kalau nak tahu lebih lanjut, rasanya tidak,” kata Anis membuka bicara.

    Paling membuatkan Anis tersentak apabila ada orang luar yang terus-terusan bertanyakan punca mereka berpisah sedangkan perkara itu sudah lama berlaku.

    Bertegas tidak akan bercerita tentang hal itu, Anis mengharapkan mereka memahami keadaan itu dan tidak membuka luka baharu kepada mana-mana pihak.

    Segetir mana pun hidup, perkara itu dijadikan pengalaman untuk saya melalui kehidupan mendatang sebagai orang yang lebih baik.

    “Saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak memandangkan itu hal peribadi saya. Setidak-tidaknya saya sudah ada pengalaman dan lebih matang jika diuji lagi pada masa depan,” katanya.

    Serik?
    Menginjak usia 27 tahun pastinya menambahkan sisi kematangan dalam diri wanita ini. Setiap hari dia tidak pernah berhenti berdoa kepada Tuhan agar diberikan kekuatan untuk menjadi insan yang lebih baik dan dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya.

    Malah dalam hal jodoh, dia tidak pernah meletakkan perkataan serik di tempat teratas dalam kamus hidupnya untuk terus bertemu dengan lelaki budiman idaman hati.

    Saya sedar dalam usia begini orang mula risau dengan isu jodoh. Saya tidak pernah merasakan perkara itu sebagai tekanan meskipun belum bertemu dengan lelaki lain selepas itu.

    Soal jodoh adalah ketentuan Allah. Jika sudah tertulis jodoh saya datang cepat atau lambat, saya perlu yakin itu adalah sebaik-baik perancangan untuk saya.

    “Tapi kalau boleh biarlah yang memahami kehidupan saya sebagai anak tunggal. Tidak semua orang faham dan mengetahui tanggungjawab sebagai anak tunggal sebenarnya,” jelasnya lagi.

    Awal-awal lagi bekas pembaca berita stesen televisyen ntv7 ini meletakkan beberapa syarat penting kepada lelaki yang mahu bergelar suaminya nanti.

    Antaranya termasuk hormat kepada orang tua, bijak dalam segala sudut, mempunyai asas agama yang kukuh dan boleh menyayangi dirinya seadanya.

    Jelas Anis, dia bukan sengaja mahu mengecilkan skop pencarian lelaki idaman tetapi yang diidamkan itu adalah perkara asas yang dimahukan oleh kebanyakan wanita sepertinya.

    Dulu saya pernah berangan-angan untuk bernikah ketika usia 25 tahun. Kini dua tahun sudah melewatinya dan saya ubah sasaran sebelum usia 30 tahun pula. Alhamdulillah keluarga pula tidak pernah mendesak soal berkenaan.

    "Mereka tidak memaksa saya untuk bernikah awal selagi belum berjumpa dengan calon yang sesuai,” katanya sambil tersenyum.

    Kematangan
    Jika segelintir orang menjadikan hal putus cinta sebagai tragedi terbesar dalam hidup mereka, Anis pula menganggap itu sebagai sebahagian daripada pengalaman dan perjalanan hidup.

    Namun begitu diasak dengan pertanyaan yang adakah dia lebih popular dan dikenali selepas insiden tersebut, Anis hanya tersenyum menjawab persoalan itu.

    Menyusun indah kata-kata agar tidak terlihat gopoh menjawab, anak tunggal kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang normal.

    Mungkin ya orang baru sahaja mengenali saya selepas cerita putus cinta bertebaran sebelum ini. Saya tidak ada masalah dengan perkara berkenaan dan mengambil positif perkara berkenaan.

    Bagi saya tujuan asal ‘terjun’ ke dalam bidang seni bukan sekadar mahu popular atau dikenali dengan cerita-cerita kurang manis sebaliknya mahu mereka menghargai bakat seni saya.

    “Kisah peribadi mungkin membantu sedikit sebanyak dalam fasa membina nama tetapi yang lebih besar adalah kerjaya saya dalam bidang ini. Itu yang harus diutamakan,” katanya berterus terang.

    Mahu meninggalkan seketika kisah peribadi untuk memberikan tumpuan kepada bidang seni, Anis sudah mengatur pelbagai perancangan untuk memperkasakan lagi namanya.

    Berpengalaman sebagai pelakon dalam beberapa drama popular sebelum ini, Anis kini mengorak langkah sebagai penyanyi dengan terhasilnya lagu Mengapa baru-baru ini.

    Meskipun ada yang mempersoalkan pembabitannya ke dalam bidang nyanyian sebagai sesuatu yang terlewat, Anis menganggap itu hanyalah pandangan orang semata-mata.

    Sebenarnya minat untuk menyanyi sudah lama. Tapi saya ‘terjun’ ke bidang peragaan, sebagai pembaca berita, pengacara dan lakonan sebelum menyanyi.

    Untuk berjaya dalam bidang yang diceburi, usia bukan persoalan utama yang harus diperbesar-besarkan. Saya tidak melihat kita harus memulakan langkah pada satu titik atau fasa semata-mata.

    “Asalkan ada kemahuan dan usaha yang berterusan, insya-Allah akan dipermudahkan segala-galanya. Rezeki yang dikurniakan Allah terbentang luas dan berusahalah untuk mendapatkannya,” jelasnya lagi.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan