• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    YANA SAMSUDIN MENGANDUNG?


    WAJAH gembira pelakon Yana Samsudin ketika ditemui pada penggambaran telefilem berjudul Rindu Dari Pencipta baru-baru ini menimbulkan seribu persoalan. Seperti ada sesuatu khabar baik yang mahu diumumkan.

    “Tidak ada apa-apa. Biasalah. Saya kan suka senyum. Hidup kita perlu ada keceriaan,” selorohnya ketika mula membuka bicara.

    Kata Yana, kehidupan selepas berkahwin bersama Fadzil Zahari pada 13 Februari lalu seperti biasa dan semuanya berjalan dengan lancar.

    Kehidupan saya seperti biasa. Alhamdulillah, syukur dengan kehidupan yang saya anggap sudah lengkap ini.

    Sudah berkahwin, semuanya sempurna ditambah boleh bekerja dan mencari rezeki, itu sudah memadai. Saya dan suami sibuk dengan kerja masing-masing.

    “Apa yang penting, saya mahu memperbaiki diri untuk menjadi yang terbaik kepada suami,” katanya.
    Kebahagiaan kini memang milik Yana, namun selepas tujuh bulan melayari bahtera perkahwinan, persoalan tentang cahaya mata mesti menjadi tajuk utama bersama keluarga.

    Ya, akui Yana, dia memang sering diajukan soalan tentang anak apabila berhadapan dengan keluarganya terutama kakak dan saudara yang lain.

    Masih belum terlewat, kata wanita kelahiran Yong Peng, Johor ini, dia menyerahkan semuanya kepada takdir.

    Soal anak itu rezeki Allah. Kalau ada baguslah. Rasanya belum terlewat lagi kerana usia perkahwinan kami juga masih baharu.

    Mengandung atau belum, saya tidak mahu menjadikannya sebagai satu tekanan dalam hidup. Suami saya pun tidak cakap apa-apa.

    Tipulah, kalau saya tidak mahu anak. Namun, semuanya bergantung kepada masa. Kalau sudah ada, baguslah. Kami terima sahaja.

    Kami tidak pernah merancang dalam soal itu. Bagi saya, hidup sudah sempurna walaupun tanpa kehadiran cahaya mata,” katanya yang kini sudah berusia 31 tahun.

    Perniagaan
    Tidak hanya sibuk di set penggambaran, Yana juga sebenarnya sibuk dengan perniagaan baharu yang sudah berusia tiga bulan.

    Perniagaan tudung itu yang menggunakan jenama Ayana by Yana Samsudin merupakan peluang baharu Yana dalam menceburi cabang baharu dalam perniagaan selepas berjaya dengan perniagaan biskut, Yana Cookies.

    Kata Yana, dia sangat gembira dan bersyukur apabila perniagaan tudung itu semakin menjadi dengan kehadiran 45 stokis seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura.

    Saya tidak menyangka dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong selama ini.

    “Sudah pasti, saya akan membahagikan masa antara berlakon, mengacara dan bisnes. Doakan kelancarannya,” ujar Yana.

    Masih belum terlambat, Yana juga mahu mengucapkan salam Maal Hijrah kepada semua umat Islam yang menyambutnya semalam.

    Berkongsi tentang Awal Muharam, kata Yana, itulah hari paling bermakna buat dirinya.

    Setiap kali tibanya Awal Muharam, ayah adalah orang pertama yang mengingatkan kami semua untuk melakukan doa akhir dan awal tahun.

    “Tiada azam selain mahu berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.

    Kerjaya
    Melupakan seketika kisah anak, perbualan bersama Yana pada petang itu dialihkan tentang kerjaya yang dilihat semakin malap apabila dia sudah lama tidak muncul dalam mana-mana rancangan atau program televisyen.

    Menurut Yana, dia bukan tidak ada cuma banyak tawaran pengacaraan telah diberikan kepadanya.

    Tidak tahu, selepas berkahwin, walaupun kurang mendapat tawaran berlakon tetapi banyak pula yang memberikan saya peluang untuk mengacara.

    Inilah dikatakan rezeki selepas kahwin. Saya bersyukur kerana masih aktif. Memang selepas kahwin hari tu, saya cuba perlahankan aktiviti seni tetapi tidak sangka ada pula tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

    Terima kasih kepada penerbit atau pengarah yang masih percaya dengan kemampuan saya dalam bidang ini,” kata pemilik nama sebenar Norliana Samsudin.

    Bangga menjadi pengacara program Jejak Seribu Kaki terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Yana berkata, program itu memberikan peluang untuknya mendekati golongan kurang berkemampuan.

    Sepanjang program ini diadakan, krew produksi akan memberi sumbangan kepada golongan yang tidak mampu. Kami akan datang ke rumah mereka dan memberi sumbangan terutama daripada segi dekorasi.

    Program ini dijalankan di sekitar Shah Alam, Kelantan dan Kuala Lumpur. Saya sangat gembira dengan peluang yang ada. Inilah masanya untuk saya membuat kerja kebajikan dalam membantu orang susah.

    Kegembiraan itu bertambah apabila dapat menunaikan impian selepas mendengar rintihan dan kesedihan yang dialami mereka. Antara yang kami lakukan ialah, mengubahsuai dalaman rumah dengan memberi sofa baharu, set televisyen dan mengecat rumah.

    Paling menyentuh sekali apabila saya bertemu dengan sebuah keluarga Melayu yang mendiami sebuah flat dengan 12 orang anak yang berusia dalam lingkungan empat hingga 19 tahun.

    “Selain itu, saya juga sedih melihat penderitaan yang dialami seorang mak cik berbangsa India yang terpaksa duduk di rumah flat dengan kehadiran empat orang anak tanpa ada bekalan elektrik di dalam rumah sejak setahun lalu. Apa yang berlaku ini membuatkan saya sangat mensyukuri kehidupan yang ada,” jelasnya tentang program 13 episod itu.

    Menambah tentang dirinya yang sudah bertudung, kata Yana dia memang sudah memilih dan akan pastikan watak yang ditawarkan kepada dirinya sesuai dengan penampilannya kini.

    Malah, dia juga bersyukur kerana masih diberi tawaran dan peluang untuk berlakon walaupun sudah berhijab.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan