• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    NABIL DAPAT TAWARAN BERI CERAMAH AGAMA?


    BARU seminggu pulang daripada menunaikan haji, pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad mengakui sudah ada sesetengah pihak menawarkannya untuk memberi ceramah.

    Namun menurutnya, segala tawaran itu akan dilihat terlebih dahulu dengan kesesuaian dirinya yang masih dalam proses pembelajaran mendalami agama.

    “Buat masa ini, saya cuba berubah terlebih dahulu dengan menambah amal ibadat, lebih banyak solat, bersedekah dan menolong orang.

     “Jika ada tawaran ceramah, saya akan cakap (kepada pihak tersebut) tengok pada jadual dan lihat apa yang nak saya kongsi. Jika saya boleh bawa, saya akan terima, jika tidak, saya akan menolaknya.

    “Saya sendiri dalam proses pembelajaran. Nanti apa pula orang kata. Apa yang saya boleh kongsi adalah pengalaman menarik saya sepanjang menunaikan haji,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis kempen Rexona, baru-baru ini.

    Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 32 memberitahu, apa yang cuba dikongsi adalah keseronokan melakukan ibadat haji dan keseronokan berada di tanah suci itu.

    “Ada banyak pengalaman dapat diperoleh di sana. Sebabnya ada juga antara kita takut untuk ke sana kerana dikatakan akan mendapat balasan secara tunai akibat dosa yang dilakukan.

    “Bagi saya, jika niat baik, tidak akan menjadi masalah, tetapi jika memang engkau ada buat jahat, pasti nanti ada balasannya,” katanya yang turut mengesyorkan untuk mendahulukan pergi tanah suci daripada bercuti ke destinasi lain.

    Berkongsi pengalamannya di sana, Nabil berkata, ia satu pengalaman menyeronokkan dan menarik kerana dapat pergi ke tempat baik.

    “Alhamdulillah sepanjang berada di sana, saya tidak menghadapi sebarang masalah justeru memudahkan saya melakukan ibadat.

    “Cuma berhadapan dengan cuaca panas, perjalanan yang agak lama, dan berjalan kaki untuk masuk ke Mina.

    “Selain itu, banyak benda dapat belajar di sana apabila melihat orang lain punya kesusahan yang benar-benar susah, daif tetapi tetap mahu ke sana untuk beribadat,” katanya.

    Justeru daripada pengalaman itu, Nabil bersyukur di negara ini, masyarakat di sediakan kemudahan yang selesa seperti masjid untuk melakukan ibadat.

    “Di sana (tanah suci) walaupun kawasannya luas dan besar, namun orang berebut-rebut mendapatkan tempat untuk solat di dalamnya,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan