• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    NADIYA NISAA BELUM PUAS TEROKAI WATAK LAKONAN


    Bergelar pemenang bagi kategori Pelakon Komedi Wanita Terbaik menerusi salah satu anugerah tempatan baru-baru ini ibarat langkah kejayaan buat pelakon Nadiya Nisaa atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin.

    Bagi wanita ini, watak komedi sememangnya seronok untuk dilihat baik di kaca televisyen mahupun layar perak, tetapi untuk melakonkan watak tersebut benar-benar memerlukan tenaga yang tinggi.

    Diiktiraf sebagai pelakon komedi memang sesuatu yang membanggakan terutamanya bagi seorang pelakon yang tidak bermula sebagai pelawak.

    “Kalau melakonkan watak sedih atau bermain dengan emosi, rasa sedih itu boleh dicari dan kebiasaannya pengarah akan bertanya sama ada kita sudah bersedia atau tidak,” jelas ibu kepada seorang anak lelaki, Omar Saiful Razman, 2.

    Berbeza pula bila membawa watak komedi kerana lakonan itu bergantung kepada pengarah sama ada sudah berpuas hati atau tidak.

    “Selalunya, watak komedi ini antara yang paling sukar terutamanya untuk cari lakonan yang terbaik. Itu antara cabarannya,” kata Nadiya.

    Ditanya sama selesa dicop sebagai pelakon komedi, jelas wanita ini, dia tidak mahu digelar pelakon untuk sebarang genre tertentu sahaja.

    Sebaliknya, dia lebih selesa untuk menganggap dirinya sebagai pelakon baharu yang belum layak untuk memilih watak apa yang mahu dibawakannya.

    Saya akan jadi memilih jika ditanya keselesaan watak apa yang saya mahu bawakan. Selesa itu bukan bermaksud tidak boleh panas atau mahukan watak bergaya sahaja.

    “Selesa itu bermaksud saya sudah cukup pengalaman untuk membawa watak yang ditawarkan itu atau tidak. Jika rasa belum layak, saya akan tolak secara baik,” ujarnya yang sudah hampir lapan tahun berada dalam industri seni.

    Tidak suka melakonkan watak yang sama berulang kali juga antara penyebab mengapa wanita ini tidak mahu dicop sebagai pelakon untuk satu genre sahaja.

    Nadiya sebelum ini pernah ditawarkan membawa watak gadis lembam kali kedua selepas pertama kali melakonkan watak itu menerusi filem Cun.

    Malah, menerusi watak yang dibawakan itu juga Nadiya menggondol anugerah Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia Ke-24.

    “Kali kedua ditawarkan watak yang sama memang saya tolak. Jika watak yang sama tetapi mempunyai sisi yang berlainan, mungkin saya akan terima,” jelasnya.

    Cuma watak yang selalu menjadi idaman buat Nadiya ialah untuk terlibat dengan filem aksi atau membawa watak seorang ahli sukan.

    Pengalaman lebih penting
    Bayaran sebagai seorang pelakon sesuatu yang subjektif untuk dibincangkan terutamanya melibatkan industri tempatan.

    Ada yang bayar lebih kerana populariti sedangkan yang sudah berpengalaman dan senior lebih murah dengan alasan sudah tidak sepopular dahulu.

    Peliknya bagi Nadiya, menjadi seorang pelakon yang popular malah bakatnya dihargai dengan pelbagai anugerah, sedikit pun wanita ini tidak peduli soal bayaran.

    Malah, wanita ini bersyukur kerana mempunyai seorang pengurus yang juga bertindak sebagai jururunding untuk mengawal gajinya bagi setiap lakonan.

    “Saya bernasib baik sebab ada pengurus. Kalau tidak saya akan ambil apa sahaja tawaran tanpa memikirkan jumlah bayaran dan sebagainya,” jelas Nadiya.

    Bagi Nadiya, wang hanyalah ganjaran dan bukan kepuasan yang dicari sepanjang terlibat dalam industri seni.

    Saya masih menggunakan kereta Myvi. Masih duduk di rumah yang biasa. Kemewahan bukan apa yang saya cari dalam dunia lakonan.

    “Sebaliknya pengalaman bekerja dalam industri bersama dengan pelakon yang hebat dan pengarah yang berkredibiliti lebih menjadi kepuasan pada diri,” ujarnya.

    Malah, bagi Nadiya, peluang bekerja dengan pengarah dan pelakon hebat antara yang menjadi pegangannya untuk kekal dalam industri.

    “Saya masih anggap diri sebagai pelakon baru. Masih banyak pengalaman yang perlu saya cedok daripada mereka yang jauh lebih lama dalam industri,” jelasnya.

    Dilema pelakon
    Ada yang berpendapat, Nadiya sekarang lebih ke arah filem berbanding drama. Sedangkan wanita ini sebenarnya cuba sedaya upaya untuk seimbangkan kedua-dua bidang itu.

    Sesetengah orang berpendapat memenangi anugerah itu satu lonjakan dalam kerjaya seni. Memang benar tetapi dalam masa yang sama juga mewujudkan kerisauan.

    Macam saya, bila menang anugerah kategori filem, maka syarikat produksi akan cenderung untuk tidak mengambil saya berlakon drama.

    “Itulah dilema dan cabaran yang dihadapi pelakon tempatan sedangkan setiap individu yang bergelar pelakon termasuk saya mahu berkarya baik dalam filem mahupun drama,” jelasnya.

    Tambah Nadiya, ada yang berpendapat jika sudah berlakon filem, maka seseorang itu akan menjadi eksklusif untuk filem sahaja.

    Sedangkan filem dan drama, masing-masing mempunyai peranan yang berbeza dalam mengembangkan kerjaya sebagai seorang pelakon.

    Saya sebenarnya mahu seimbangkan kedua-dua bidang itu. Baik filem dan drama. Tetapi bagaimana untuk seimbangkan kedua-duanya itu adalah cabaran yang perlu saya hadapi.

    “Drama bagi saya adalah platform untuk seseorang pelakon itu lebih dekat dengan penonton kerana majoriti penduduk mempunyai televisyen di rumah,” ujarnya.

    Disebabkan itu juga, jelas Nadiya, apa yang penting bukan platform tayangan, tetapi karya yang dihidang kepada penonton sama ada berkualiti atau tidak.

    “Tidak kira sama ada layar perak mahupun kaca televisyen, apa yang penting ialah karya pelakon itu untuk memuaskan penonton lebih penting,” jelasnya.

    Tambah Nadiya, dia bersyukur kerana walaupun aktif dalam drama, tetapi tawaran berlakon filem itu tetap ada.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan