• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    LIYANA JASMAY LIGAT BEKERJA..


    Meskipun kini hamil lima bulan, pelakon dan penerbit Liyana Jasmay tidak membataskan pergerakannya untuk bekerja.

    Liyana, 27, tetap aktif walaupun alahan mengandung masih dialami. Bagaimanapun Liyana akui ia tidak teruk hingga menjadi halangan kepadanya untuk bekerja.

    Pelakon filem Isyarat Cinta itu bersyukur kerana pengalaman mengandung kali kedua tidak teruk dan menjadikan dia malas sebagaimana ketika pengalaman pertama.

    “Ketika mengandung Sofia Arissa dulu, saya lebih selesa berehat di rumah saja. Namun, hamil kali ini pengalamannya berbeza.

    “Saya lebih yakin dan bersemangat untuk bekerja dan melakukan apa saja. Bahkan, kini saya juga mula melakukan senaman yoga,” katanya.

    Mengenai ragam anak sulungnya yang akan memiliki adik tidak lama lagi, Liyana berkata biasalah ragam anak kecil. Katanya, Sofia Arissa sangat manja dan mudah dijaga. Malah anaknya juga makin rapat dengan suami.

    Untuk kandungan kali ini, Liyana lebih selesa merahsiakan dulu jantina bayi dalam kandungannya dan enggan menguar-uarkan lebih awal kepada peminat.

    Katanya, biar ia menjadi rahsia sehingga majlis doa selamat diadakan tidak lama lagi.

    Mendirikan rumah tangga dengan Fathuddin Mazlan, nyata suami memahami tuntutan karier seni Liyana dan tidak menghalang dia terus aktif.

    Selain berlakon, Liyana yang turut menceburi bidang nyanyian dikenali peminat dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta, Jujur dan Cinta Bersatu.

    Berehat seketika daripada nyanyian, fokus Liyana kini lebih kepada penerbitan karya seni melalui produksi miliknya, Mermaid Studios.

    “Saya masih dalam proses mencari material lagu yang bagus dan sesuai dengan vokal. Ini kerana bukan mudah mendapat lagu yang baik.

    “Ketika ini juga, Mermaid Studios rancak menghasilkan beberapa drama serta telefilem termasuk baru selesai penggambaran filem Bella dan Jamie,” katanya.

    Kata Liyana, filem sulung terbitan produksinya akan ditayangkan di pawagam tahun depan. Ia dibintangi Juliana Evans, Izzue Islam, Dynaz Mokhtar, Khir Rahman dan juga dirinya.

    “Memandangkan ini ‘bayi sulung’ Mermaid Studios, saya mengharapkan filem ini mendapat sambutan penonton apabila ditayangkan nanti.

    “Dalam filem ini, saya berlakon di samping Juliana yang juga kawan baik saya. Bahkan, saya selasa berganding dengan Juliana kerana kami serasi,” katanya.

    Tidak hanya mengusahakan Mermaid Studios, Liyana yang meminati bidang perniagaan turut mencuba nasib dalam dunia fesyen.

    Minat mendalam terhadap fesyen mendorong anak bongsu daripada empat beradik ini mengembangkan cabang perniagaannya. Berkongsi idea dengan kakak, Adriana Jasmay mereka melancarkan butik pakaian Mermaid Store baru-baru ini.

    “Saya memang suka fesyen terutama rekaan santai. Sebelum menubuhkan Mermaid Studios, saya sebenarnya aktif menjual pakaian di merata tempat tetapi tidak diberi tumpuan.

    “Saya sanggup berhenti buat sementara waktu berniaga pakaian demi fokus kepada produksi untuk memastikan ia stabil. Kini apabila urusan produksi makin stabil, tiada masalah untuk saya memberi fokus pada berniaga pakaian semula.

    “Mermaid Store yang beroperasi di Starparc Point, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur bulan depan, menjual busana wanita dan kanak-kanak,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan