• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    KEITH FOO MOHON PEMINAT HORMATI JODOHNYA


    Penjelasan di sebalik kontroversi perkahwinan ‘rahsia’ aktor kegilaan ramai, Keith Foo yang menarik perhatian umum beberapa minggu lalu sudah diketahui umum.

    Berkongsi pendiriannya berhubung soal itu baru-baru ini, Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin menegaskan, perkahwinan hal peribadi yang menjadi hak mutlak individu.

    Bagi lelaki berusia 32 tahun ini, keputusan menghebahkan atau merahsiakan butiran perkahwinan bergantung kepadanya dan ia perlu dihormati.

    Selepas 10 bulan mengahwini wanita pilihannya, Kim Raymond, 27, pelakon ini berkata, dia kini berada dalam fasa pembelajaran untuk mengemudi bahtera rumah tangga.

    Keith ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Girlfriend Kontrak, baru-baru ini berkata, tiada perubahan besar yang dialami selain tanggungjawab sebagai suami.

    “Saya mengenali Kim sejak 13 tahun lalu. Jadi secara praktikal, kami sudah saling mengenali antara satu sama lain.

    “Cuma mungkin perubahan yang saya alami sekarang adalah tanggungjawab sebagai suami. Aspek itu yang perlu saya adaptasi dalam kehidupan baru ini,” katanya.

    Pelakon yang sebelum ini meniti populariti di Indonesia menerusi pelbagai sinetron berkata, perkara yang membahagiakan sejak berkahwin apabila Kim membantunya dalam segenap aspek kerjaya dan peribadi.

    “Bukan hanya makan, pakaian dan kasih sayang, dia juga bertindak sebagai pengurus saya. Jadual kerja saya dia yang pantau dan uruskan sekarang.

    “Malah, penampilan saya setiap kali hendak keluar bekerja atau bersantai juga lebih teratur sejak kehadiran Kim dalam hidup saya.

    “Dia memahami dan menyokong kerjaya saya sampaikan fesyen saya pun dibimbing oleh dia. Dia pelengkap kehidupan saya sekarang,” katanya.

    Mengenai zuriat, Keith berkata, mereka tidak merancang soal anak, tetapi jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat, ia perkara yang menggembirakan.

    “Kami tidak merancang. Jika dikurniakan rezeki untuk kami, kami terima,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan