
KESUKAAN Tomok berkongsi keletah anak sulungnya Arrianshah Akid (Arrian), 3, menyebabkan Arrian kini diminati ramai. Malah pernah suatu ketika Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 31 mengakui anaknya itu lebih popular daripada dirinya.
Bukan sahaja kerana kecomelan Arrian tetapi juga ramai yang memuji anak kecil ini kerana merupakan seorang kanak-kanak yang pintar. Kesan dari itu ad a di antara peminat Tomok yang ingin berkongsi rahsia bagaimana dia mendidik anaknya itu bersama isteri, Rahayu Abbas.
Tidak lokek berkongsi, jelas Tomok didikan di rumah banyak dilakukan isterinya memandangkan dia lebih banyak keluar bekerja.
KELUARGA bahagia Tomok mengadakan majlis akikah untuk Andrashah Iman dan majlis ulangtahun Arrianshah Akid sekaligus.
“Sebenarnya kebanyakan masa isteri saya yang banyak mengajar Arrian. Sebab saya selalu keluar bekerja, memang ada yang bertanya bagaimana kami mendidik Arrian.
“Buat masa ini tidaklah sampai mahu buat buku, cuma kalau ada yang bertanya di laman Instagram kami akan jawab,” katanya ketika ditemui pada majlis akikah anak keduanya, Andrashah Iman (Andra) yang kini berusia tiga bulan di kediaman di Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebagai ayah, Tomok lebih suka mendidik anak-anaknya dengan acuan sendiri. Bagaimanapun tidak juga lekang dari mendapatkan nasihat mereka yang berpengalaman.
“Memang saya dan isteri ikut cara kami sendiri, sebabnya saya percaya setiap keluarga itu berbeza dan tidak boleh samakan.
“Cuma kami tetap akan ambil nasihat dari orang luar untuk membantu kami dalam membesarkan anugerah terindah ini,” katanya.
Mempunyai dua anak kini, Tomok dan isterinya memang tidak terfikir untuk mempunyai pembantu rumah memandangkan isteri lebih senang untuk menjaga anak mereka sendiri di rumah.
“Memang isteri dan saya tidak akan ambil pembantu rumah, isteri saya lebih senang untuk melakukannya sendiri. Sebab itu saya sebagai suami memang menghormati isteri dan ibu-ibu di luar sana.
Memang bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan dua anak dan membuat kerja rumah dalam suatu masa. Sebab itu saya tahu ada masanya kita perlu membantu mereka,” katanya.
Bercakap soal populariti anak sulungnya, kata Tomok untuk anak keduanya ini dia tidak menolak akan melakukan perkara yang sama iaitu berkongsi momen di laman instagram. Namun ini bukan bermakna dia mahu meraih populariti buat anak-anaknya.
“Bila saya kongsi gambar anak saya di laman sosial bukan niat saya mahu popularkan anak, sebab saya fikir ini keadaan normal buat mana-mana ibu bapa.
“Sebab itu saya akan teruskan dengan anak kedua, sebab niat saya sama untuk berkongsi dengan peminat tidak ada niat lain,” katanya jujur.
Sudah mempunyai dua anak lelaki kini, memang Tomok tidak mahu sorokkan harapan untuk mempunyai anak yang lebih ramai pada masa depan. Ketika ini dia memang mengi-damkan dua lagi anak perempuan.
“Memang kalau ikutkan saya dan isteri mahu dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Namun semua itu terpulang kepada rezeki sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan