• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ANTARA BERLAKON DAN NYANYIAN, YANG MANA PILIHAN KHAI BAHAR?

    Kelibat penyanyi Khai Bahar dalam industri hiburan tanah air, masih terus menjadi dambaan ramai.

    Jejaka kacak berusia 26 tahun itu terus menumpahkan kecintaan terhadap kerjaya nyanyian yang kini menjadi punca utama pendapatannya sepanjang beberapa tahun terbabit dalam industri seni.

    Terbaharu, Khai tampil dengan buah tangan berjudul Durja yang kini mencatat lebih 500,000 tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan kehadirannya dalam lapangan seni masih kekal berada di puncak.

    Bersyukur atas segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan Ilahi, Khai menanam azam untuk terus berkongsi karya baharu kepada peminat dan pencinta muzik tempatan.

    "Alhamdulillah, lagu Durja menerima maklum balas yang positif daripada semua.

    "Setiap buah tangan baharu yang dikeluarkan mempunyai cabaran dan halangan tersendiri. Tidak semua yang kita harapkan dapat kita capai.

    "Namun, saya bersyukur sebab hasil kerja untuk menjayakan lagu ini diterima baik. Saya akui genre balada sememangnya pilihan yang tepat untuk diketengahkan," katanya.

    Tambah Khai, biarpun ramai yang meminati muzik balada dibawakan itu, sebagai penyanyi Khai ingin mencipta catatan manis dalam portfolio seninya.

    "Tak salah untuk saya bereksperimen dengan setiap lagu yang ingin diketengahkan. Ini kerana, saya mahu keluar daripada zon selesa.

    "Jadi dari situ, saya dapat saksikan penerimaan peminat dan pendengar mengenai percubaan demi percubaan terhadap lagu yang dinyanyikan.

    "Saya juga bakal mengeluarkan dua lagu baharu termasuk nyanyian duet tak lama lagi. Langkah mengeluarkan tiga ke empat lagu dalam setahun sangat wajar.

    "Ia berikutan, saya berada dalam dunia media sosial yang pengaruhnya agak besar kini. Saya yakin, ramai peminat menunggunya.

    "Kalau saya jarakkan lebih lima bulan untuk keluarkan lagu seterusnya, memang rasa tak adil untuk peminat. Apatah lagi, sekarang pun semua orang aktif di YouTube dan di platform digital," katanya.

    Ujar Khai, enggan melihat peminatnya bosan kerana dia sendiri pun kurang gemar asyik dengar lagu sama berulang kali, karya baharu harus dihasilkan.

    Menurut penyanyi lagu Bayang dan Luluh ini, apa yang pasti dia mahu setiap lagu baharu dilancarkan itu dapat menceriakan hati setiap orang.


    Tetap teruja untuk konsert

    Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang ditangguhkan susulan penyebaran wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, menyebabkan ramai pihak kurang senang.

    Apatah lagi, penangguhan dibuat dalam tempoh yang panjang dan tiada tarikh rasmi baharu diumumkan. Justeru, situasi itu membuatkan ada segelintir peminat meminta wang mereka dikembalikan.

    Bagaimanapun, Khai melihat setiap isu yang berlaku dari sudut positif, termasuk berharap semua pihak faham dengan keadaan menimpa negara dan hampir seluruh dunia ketika ini.

    "Setakat ini, saya belum mendapat sebarang perkembangan baharu mengenai tarikh konsert akan diadakan. Tambahan pula, kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksana.

    "Malah, PKPP ini sudah diumum akan berlanjutan sehingga 31 Disember nanti dan tak tahu juga adakah ia akan terus disambung.

    "Saya hanya mengikut segala perancangan yang diaturkan penganjur dan berharap konsert ini dapat dijayakan juga," katanya.

    Mengulas perihal konsert yang diimpikan sering mendapat halangan, Khai berkata dia percaya apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

    "Sebelum Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia ada satu konsert yang sepatutnya berlangsung tidak dapat dijayakan tapi saya melihat perkara itu dari sudut positif.

    "Saya percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sudah tentu, ada perkara yang lebih baik menanti dan jangan sesekali merungut.

    "Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Semua pihak bekerja keras untuk penganjuran konsert ini, Jadi orang luar tak boleh salahkan saya atau penganjur kerana apa yang berlaku adalah takdir sudah tertulis," katanya.


    Berlakon, tunggu dulu

    Menyentuh mengenai kerjaya lakonan, Khai yang pernah membintangi drama Satukan Rasa berkata, dia mengaku banyak kelemahan yang perlu diperbaiki serta menjalani latihan yang cukup.

    "Saya akui lakonan saya ada banyak kelemahan lagi dan salah satunya, mungkin tiada persiapan yang cukup.

    "Jadi, kini saya kena pastikan diri betul-betul bersedia sebelum memasuki set penggambaran baharu. Apa pun, saya suka kerjaya ini, cuma tak boleh main ambil dan terima bayaran semata.

    "Saya kena peka dan ambil kira banyak perkara berikutan tidak mahu menghampakan penonton dengan sekadar tangkap muat sahaja," katanya.

    Memaklumkan dia masih mendapat banyak tawaran berlakon, Khai berkata, dia terpaksa menolak buat sementara waktu kerana tumpuannya lebih pada nyanyian.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan