• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    MAWI MASUK WAD?


    Mawi, 37, dimasukkan ke sebuah hospital pakar di Bangi sejak malam semalam akibat tekanan darah tinggi serius.

    Mengulas punca kesihatannya terganggu, Mawi ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah menduga berhadapan masalah berkenaan kerana tidak mengalami sebarang simptom.

    “Mungkin saya terlalu penat bekerja dan pada masa sama perlu menguruskan keluarga di Johor.

    “Doktor minta saya jangan banyak fikir, cukup tidur dan berehat untuk menstabilkan kembali tekanan darah. Alhamdulillah, tahap kesihatan saya makin okay dan setakat ini pemeriksaan jantung dan buah pinggang menunjukkan tiada masalah,” kata penyanyi Asmawi Ani atau Mawi.

    “Saya sering berulang-alik dari ibu kota ke Johor sejak Allahyarham ibu sakit untuk menjaganya. “Selepas ibu meninggal dunia, anak saudara saya pula dijemput Ilahi dan disusuli sepupu. Jadi, mungkin juga saya banyak fikir dan kurang rehat,” katanya.

    Ditanya adakah dia sering membuat pemeriksaan kesihatan, Mawi berkata kali terakhir dia melakukan pemeriksaan darah kira-kira tiga tahun lalu. Ketika itu, tahap kesihatannya baik-baik sahaja dan tiada masalah.

    “Apa yang berlaku semalam di luar jangkaan. Saya bersama isteri keluar bersiar-siar di Alamanda, Putrajaya dan dia ternampak ada perkhidmatan pemeriksaan darah percuma lalu minta saya melakukannya.

    “Hasil pemeriksaan mendapati bacaan darah tinggi di tahap bahaya iaitu 191. Terkejut dengan keputusan itu, saya dan Ekin ambil keputusan untuk ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Pun begitu, baru sehari mendapatkan rawatan di hospital Mawi bersyukur apabila menerima kunjungan ramai peminat.

    “Terima kasih kepada peminat yang menziarah saya. Tak sangka, mereka sanggup luangkan masa untuk tahu perkembangan kesihatan saya.

    “Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan saya. Hanya Allah SWT mampu membalas kebaikan kalian,” katanya.

    Sehubungan itu, atas nasihat doktor Mawi akan bermalam di hospital untuk beberapa hari lagi sebelum dibenarkan keluar.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan