• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    KHAI DAN WANY SEDIA TERIMA KRITIKAN DEMI KEBAIKAN


    Populariti dikecapi dua penyanyi muda ini bukan alasan mereka mendabik dada. Sebaliknya, setiap kejayaan diraih Khai Bahar dan Wany Hasrita sepanjang tempoh dua tahun bergelar anak seni dijadikan pengukur untuk terus memperbaiki diri.

    Biarpun ramai beranggapan mereka jauh meninggalkan rakan seangkatan lain yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU), baik Khai mahupun Wany masing-masing meletakkan diri sebagai budak baru belajar.

    Apa yang pasti, pada kedudukan sekarang Khai dan Wany enggan leka serta terbuai dengan populariti. Seboleh-bolehnya, mereka ingin terus mendapat bimbingan dan dikritik. Tidak ada istilah sempurna kerana perjalanan masih jauh dalam bidang ini.

    Menurut Khai, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin setiap kritikan diterima menjadikannya lebih matang terutama untuk mengenal diri.

    “Kritikan mencerminkan diri kita apatah lagi jika mendapat komen daripada golongan profesional. Lagi satu, kita boleh memperbaiki apa yang dikritik itu. Mungkin selama ini kita tidak sedar apa yang dibuat itu sebenarnya salah.

    “Bagi saya perkara begini sangat perlu. Sejak awal pembabitan sebagai penyanyi, saya banyak mendapat teguran membina dan negatif. Namun, semuanya saya terima untuk memperbaiki diri.

    “Bukan apa, kalau tidak ada sesiapa yang kritik atau tegur kita akan berasa selesa. Ia sekali gus menjadikan kita mudah lupa. Saya tidak mahu jadi seperti itu. Oleh itu, saya sentiasa perlukan nasihat dan bimbingan daripada orang sekeliling,” katanya.

    Khai yang popular menerusi lagu Luluh berkata, dia sentiasa terbuka untuk terbabit dalam apa juga program berbentuk pertandingan jika diberi peluang.

    Menurut Khai, ia antara medium terbaik untuk menguji kemampuan sebenar selain dapat mengenal pasti kelebihan dan kekurangan diri.

    “Sebagai contoh, program Big Stage yang sedang berlangsung membabitkan artis baru. Bagi saya, program ini bagus untuk menilai bakat sebenar.

    “Kalau saya diberi peluang memang tidak akan dilepaskan. Saya teringin nak masuk pertandingan dan dinilai juri profesional. Pada masa sama, saya nak asah bakat sedia ada.

    “Selama ini saya selalu dapat pujian daripada peminat. Jadi, sesekali nak juga tahu apa komen juri. Pendek kata, saya sedia dikritik. Tidak ada apa perlu ditakutkan jika ia membawa kebaikan,” katanya.

    Perkembangan lain, Khai bakal muncul dengan single terbaru berentak rancak tidak lama lagi.

    Selain itu, Khai juga sibuk mempersiapkan diri dalam perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim kedua pada Oktober ini.

    “Pada perlumbaan pertama iaitu awal bulan lalu, saya berada di kedudukan keenam daripada 10 pelumba. Ini pertama kali saya bawa kereta dan terus diberi peluang berlumba. Tentu saja ia pengalaman hebat.

    “Diakui pada mulanya memang takut dan gementar tetapi apabila sudah berada dalam trek serta berlumba, saya sangat seronok. Tidak sabar masuk perlumbaan kedua,” katanya.

    Selain Khai, artis lain terbabit dalam acara itu ialah Diana Danielle, Nabila Razali, Wany Hasrita, Aiman Tino, Janna Nick, Shukri Yahaya, Nabil Ahmad, Akim Ahmad dan Shawn Lee.


    Wany ingin dikritik

    Sependapat dengan Khai, penyanyi lagu Ewah Ewah ini mengalu-alukan komen dan kritikan membina untuk kemajuan diri.

    Wany, 26, atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata dengan cara itu dia boleh mengetahui kelemahan yang ada terutama dari segi nyanyian dan persembahan pentas.

    “Saya pernah terbabit dalam pogram Fantastic 4 Hot FM. Diakui saya berasa tekanan. Setiap minggu diberi tugasan lagu dan perlu menyanyi ikut cara sendiri agar ia lebih menarik. Sejak itu, saya fikir kalau masuk pertandingan besar lain mesti tekanannya lebih hebat.

    “Tetapi, apabila masuk minggu ketiga, nyanyian saya sudah semakin okey. Saya ada cakap kepada pengurus, alangkah bagus kalau dapat masuk pertandingan lain kerana orang boleh kritik dan beritahu kelemahan.

    “Pada masa sama, boleh tahu ada peningkatan atau tidak. Jadi, kepada rakan artis yang masuk pertandingan, ia sangat bagus sebab ada bimbingan daripada golongan profesional termasuk guru vokal. Pendek kata, banyak ilmu dan pengalaman mereka boleh dapat setiap minggu,” katanya.

    Berkongsi kisah sama dengan Khai, Wany juga teruja apabila dipilih untuk terbabit dalam acara perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim kedua bersama sembilan artis lain.

    “Saya sudah lama tidak bawa kereta manual. Kali terakhir saya bawa ketika berusia 18 tahun. Alhamdulillah, apabila masuk acara ini mereka berikan latihan. Jadi, ia sangat membantu dalam kehidupan seharian.

    “Selain itu, ia membantu kita mengawal tekanan terutama sebelum memulakan perlumbaan. Ketika itu perasaan bercampur baur. Begitu juga ketika berlumba. Pendek kata, berlumba mengajar saya erti disiplin dan mengatasi tekanan.

    “Cuma, sekarang saya masih fobia dengan insiden mati enjin. Dua perlumbaan sebelum ini saya lalui situasi ini. Saya pun tidak tahu kenapa. Bagaimanapun, ini pengalaman menarik. Kalau ada musim ketiga dan ditawarkan lagi, saya tidak akan tolak,” katanya yang berada di kedudukan kelima.

    Selain itu, Wany juga bakal melancarkan single terbaru yang mana masih mengekalkan genre melo balada.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan