• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ERRA AKUI TERPAKSA PILIH WATAK


    Sudah bergelar pelakon lebih dua dekad, namun Erra Fazira tidak pernah meletakkan sasaran menjadi heroin sebagai misi utama dalam kerjayanya.

    Bagi wanita berusia 44 tahun ini, dia lebih mementingkan keserasian watak yang ditawarkan berbanding merebut ‘kerusi’ pelakon utama sesebuah filem.

    Menurut Erra, pendirian tidak terikat untuk memegang watak utama tidak pernah berubah sejak dari zaman kegemilangannya sehingga hari ini.

    “Saya perlu mengamalkan konsep kerja secara bijak dan bukan kerja kuat kerana mempunyai tanggungjawab lain untuk diuruskan terutamanya anak saya, Engku Aleesya Engku Emran yang kini sudah berusia 9 tahun.

    “Saya tidak nafikan memang ada menerima banyak tawaran berlakon sebagai heroin, tapi tidak banyak yang mampu bertoleransi dengan jadual kerja saya yang padat. Jadi, lebih baik saya membawa watak yang lebih kecil dan kurang komitmen,” katanya.

    Erra berkata, dia tidak menafikan perubahan kehidupan, status dan tanggungjawabnya juga menyumbang kepada punca mengapa dia jarang bersetuju untuk memegang watak utama dalam mana-mana karya filem, drama atau telefilem sejak kebelakangan ini.

    “Saya perlu sedar usia sudah semakin meningkat dan banyak lagi perkara lain yang perlu saya uruskan. Namun, pada masa sama saya tidak boleh tinggalkan kerjaya lakonan kerana inilah tempat saya bermula dan saya akan terus berlakon.

    “Cuma aktiviti itu tidaklah serancak dulu. Saya perlu memilih mengikut kesesuaian diri saya sekarang,” katanya.

    Namun begitu, pelakon yang terkenal menerusi filem Sembilu ini masih mempertimbangkan tawaran heroin jika naskhah yang diberikan berbaloi untuk dia mengosongkan jadual harian tetapnya dalam tempoh tertentu.

    “Jika saya benar-benar tertarik dengan watak yang diberikan dan ia boleh memberikan kepuasan yang setimpal, saya tiada masalah untuk memberi komitmen asalkan hasilnya berbaloi,” katanya.

    Tak mahu lagi lagu sedih

    Selain aktif berlakon, Erra turut dikenali sebagai penyanyi berbakat dan memiliki beberapa buah album.

    Walaupun rezekinya lebih dalam bidang lakonan, jauh di sudut hati Erra dia masih menyimpan kerinduan untuk kembali aktif menyanyi, cuma masih belum berjumpa genre lagu bersesuaian dengan imejnya yang bertudung sekarang.

    Erra berkata, dia berhasrat untuk mengubah genre muzik daripada balada kepada lagu rancak sekiranya kembali aktif dalam bidang nyanyian.

    Katanya, dia ingin mengubah angin daripada menyanyikan lagu cinta yang kecundang dan merintih.

    “Saya bukan terpengaruh atau takut dengan badi lagu, tapi saya tidak mahu lagu saya seperti Pasrah, Yang Terindah Hanya Sementara dan Berteman Sepi dikaitkan dengan perjalanan hidup saya.

    “Memang saya masih sendiri, tapi saya tidak sepi. Sekiranya diberi peluang nanti saya mahu lari daripada genre asal untuk mencari kelainan. Namun ia perlu bersesuaian dengan imej hijab yang saya bawakan ini,” katanya.

    Menurut Erra, dia sedar rata-rata peminat mahukan dia menyanyikan lagu sedemikian kerana begitu sinonim dengannya.

    “Ramai yang meminta saya menyanyikan lagu balada kerana kata mereka saya sesuai menyampaikan lagu seperti itu.

    “Sebenarnya saya okey, tapi saya mahukan lirik yang positif. Sebagai contoh. kembali bangkit dan tidak kenal erti mengalah atau putus asa,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan