• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    KHAI BAHAR DAN HAEL HUSAINI MASING MASING TERUJA NAK BALIK KAMPUNG


    1 Syawal yang bakal dirai esok memberi makna berbeza buat dua penyanyi popular ini.

    Apatah lagi, limpahan rezeki yang diterima membuatkan mereka lebih bersyukur dengan nikmat yang ada.

    Tolak tepi soal populariti, bagi Khai Bahar dan Hael Husaini, apa yang lebih penting adalah semangat kekeluargaan pada Aidilfitri.

    Berkumpul bersama pada Aidilfitri sesuatu yang dinanti dan tidak boleh dilepaskan begitu saja.

    Malah, tidak lengkap sambutan Aidilfitri dua bintang muda ini tanpa meraikan bersama peminat yang turut mengunjungi kampung halaman.

    Berkongsi kisah sambutan Syawal tahun ini, baik Khai mahupun Hael, kedua-duanya selesa untuk lebih bersederhana. Tidak ada istilah untuk berlebihan bagi mengelakkan sebarang pembaziran.

    Bagi Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin, 24, seperti kebiasaan tradisi pulang ke kampung halaman di Kangar, Perlis tidak dilupakan.

    Menurut Khai, suasana Aidilfitri itu lebih ceria dan meriah jika disambut bersama keluarga. Apatah lagi, kawasan tempat tinggalnya masih mengekalkan konsep raya dulu-dulu.

    “Alhamdulillah, tahun ini saya dapat cuti lama dan boleh pulang awal ke kampung. Sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk berpuasa dengan keluarga. Lagi satu, apabila di kampung saya boleh bantu emak buat persiapan raya.

    “Seperti tahun lalu, saya buat permintaan kepada pihak syarikat rakaman untuk tidak menjayakan persembahan pada Aidilfitri. Saya bukan menolak rezeki, tetapi raya setahun sekali. Kalau boleh tidak mahu terlepas saat pagi raya untuk berkumpul dan saling bermaafan sebelum ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.

    “Saya juga menjadikan cuti Aidilfitri ini sebaik mungkin dengan beraya bersama keluarga. Saya juga ambil kesempatan untuk menziarahi sanak saudara dan rakan. Pada masa sama, saya menganggap cuti raya ini sebagai ruang untuk berehat selepas sekian lama bekerja,” katanya.

    Pada masa sama, Khai turut mengalu-alukan peminat untuk berkunjung ke rumahnya. Malah, Khai yang popular menerusi lagu Luluh tidak pernah terdetik untuk berahsia jika dia pulang ke kampung.

    “Saya okey saja beritahu balik kampung. Malah saya siap buat video di Instagram. Kalau kebetulan ada peminat berada di sekitar kawasan tempat tinggal saya, mereka akan datang berziarah.

    “Macam tahun lalu, saya ada buat majlis rumah terbuka secara kecil-kecilan. Jadi, saya jemput peminat hadir. Tahun ini, belum ada perancangan lagi sebab saya sibuk bekerja. Tetapi, kalau nak datang beraya saya alu-alukan,” katanya.

    Menurut Khai, setiap kali Aidilfitri adalah sesuatu yang cukup istimewa untuknya terutama dapat bersama keluarga.

    “Bagi saya, keistimewaan Aidilfitri apabila dapat pulang ke kampung dan meraikan bersama keluarga. Ini memang saya tidak sabar tunggu. Selagi tidak jejakkan kaki di kampung, selagi itu saya tak duduk diam.

    “Insya-Allah, raya tahun ini saya masih menyediakan duit raya buat ibu bapa, adik, anak saudara dan kanak-kanak yang datang beraya. Rezeki yang ada saya ingin kongsi bersama. Tidak dilupakan saya turut menyediakan baju raya untuk emak, ayah dan adik,” katanya.

    Khai juga berkongsi, Aidilfitri tahun ini dia mendapat hampir 20 pasang baju raya hasil pemberian peminat dan tajaan daripada beberapa jenama.


    Hael utamakan Helena

    Sejak bergelar bapa angkat kepada Nur Helena yang kini sudah berusia 12 bulan itu, kehidupan Hael lebih indah.

    Menurut penyanyi berusia 30 tahun ini, anak kecil itulah anugerah teristimewa setiap kali menyambut lebaran. Helena ternyata benar-benar membawa sinar dalam hidupnya.

    Disebabkan itulah Hael sentiasa mengutamakan anaknya itu setiap kali menjelang Aidilfitri yang disifatkannya punca rezekinya selama ini.

    “Istimewanya Aidilfitri tahun ini tentu sekali saya memiliki insan yang bernama Nur Helena. Saya lebih banyak berbelanja untuknya tanpa berkira disebabkan sayang yang tidak terhingga.

    “Memang apa-apa pun saya dahulukan dia dan hampir semua yang saya lakukan ketika ini adalah demi Helena,” katanya.

    Bercerita mengenai persiapan Aidilfitri, Hael juga memilih untuk bersederhana dan lebih banyak berkongsi rezeki dengan orang tersayang.

    “Jika ikutkan, saya sendiri tidak kisah untuk memakai satu atau dua pasang baju saja. Tapi saya lebihkan belanja buat Helena yang masih kecil lagi serta beli keperluan buat seisi keluarga.

    “Konsep Aidilfitri tahun ini adalah apa yang Helena sentuh saya akan beli. Untuk diri sendiri, saya akan pakai saja apa yang ada dalam simpanan dan kalau beli baju pun tidaklah sakan berbelanja,” katanya.

    Bukan tidak teruja, tetapi Hael juga tidak kisah jika mendapat tawaran bekerja pada hari raya pertama. Menurutnya, pada usia ini tiada yang perlu ditolaknya lagi selain terus bekerja keras.

    “Sudah memasuki fasa usia 30-an ini, saya perlu menggunakan kudrat yang Allah beri selagi masih mampu. Jadi, saya tiada terfikir langsung untuk berehat memandangkan sebelum ini saya sudah berehat panjang pun.

    “Seperti biasa, saya akan pulang beraya di kampung halaman di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jadual kerja sama ada saya balik pagi raya ataupun selepas raya.

    “Jika ada tawaran persembahan pada hari raya pertama, saya akan terimanya. Keluarga pun sudah faham dengan perkara itu dan mereka tidak kisah,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan