• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    WAN SHARMILA NAK JADI BISU?


    Nama pelakon berbakat besar Wan Sharmila tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah, pelakon kelahiran Johor Bahru ini juga masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah drama selepas sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan.

    Antara drama popular lakonannya ialah Tari Tirana, Nora Elena, Kisah Kaisara dan 7 Hari Mencintaiku.

    Secara peribadi, pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Mohamed, 37, ini me­ngakui dia sangat bersyukur kerana dirinya masih diterima peminat hingga hari ini.

    “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberi ruang dan rezeki dalam bidang seni tanah air. Mungkin saya belum pernah menang trofi, tetapi saya tetap pastikan setiap lakonan meninggalkan kesan mendalam pada penonton,” katanya.

    Ditanya dari segi watak pula, kata Wan Sharmila, dia mengakui tidak kisah melakonkan watak pembantu atau utama dalam drama.

    “Sebagai pelakon, saya akan mengkaji setiap watak diserahkan terlebih dulu sebelum bersetuju dengan tawaran terbabit.

    “Saya juga tidak kisah bergandingan dengan artis baru sebagai hero atau heroin kerana yang penting naskhah itu menarik.

    “Dari segi watak diimpikan pula, saya menanti peluang karakter lebih mencabar iaitu gadis bisu yang jahat selepas ini,” katanya.

    Tahun ini, Wan Sharmila turut mencuit hati penonton menerusi gandingan mantapnya dengan Ungku Hariz dalam drama bersiri Abang Lori Ohsem yang baru saja berakhir siarannya di HyppSensasi, saluran 116, baru-baru ini.

    Wan Sharmila mengakui watak Lufia yang juga juruterbang dalam drama bersiri komedi itu memberi impak pada penonton.

    “Ia nampak tegas dari segi luaran, tapi hatinya lembut. Apa yang mencabar untuk menampilkan karisma seorang juruterbang. Pada masa sama, saya juga sudah lama tidak melakonkan babak romantik dalam drama,” katanya.

    Namun, kata Wan Sharmila, dia seronok melakonkan watak Lufia dalam drama bersiri itu.

    “Saya berasa gembira kerana mendapat maklum balas sangat memberangsangkan daripada penonton. Mungkin kerana cerita itu masih diulang siarannya di HyppSensasi ketika ini.

    “Ramai peminat terutama dalam kalangan wanita berusia yang menghantar Direct Message (DM) kepada saya untuk meminta penerbit menerbitkan musim baru versi raya Abang Lori Ohsem nanti,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Wan Sharmila kini terbabit dengan penggambaran projek drama baru berjudul Semerah Cinta Hummairah arahan Zamri Zakaria untuk Slot Samarinda di TV3.

    “Saya melakonkan watak penggoda dan pendendam dalam drama bersiri ini. Pastinya saya akan berusaha memberikan yang terbaik dan berharap penonton tidak akan terpengaruh dengan watak itu dan membenci saya nanti.

    “Selain itu, saya juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri 100 episod, Cinta Tiada Ganti terbitan Global Station ketika ini,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan