• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    SHERRY IBRAHIM SEDANG SYOK BERCINTA?


    Setahun selepas putus cinta, dalam diam pelakon Sherry Ibrahim akui sedang berkawan dan mengenali hati budi seseorang.

    Namun, memandangkan perhubungan itu masih dalam fasa perkenalan, Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 35, tidak mahu terlalu bercerita.

    Sherry berkata, sebaiknya dia mengambil pendekatan mengunci mulut terlebih dahulu dan menjalani hubungan itu seperti biasa.

    Malah, Sherry sentiasa percaya kepada ketentuan dan aturan Allah. Sekiranya jejaka itu adalah jodohnya, dia pasti akan berkahwin juga.

    Keterbukaan Sherry berkongsi perkara itu sekali gus menutup cakap-cakap segelintir pihak yang mengatakan dia belum boleh menerima hakikat apabila putus cinta dua tahun lalu.

    “Selagi saya tidak berkongsi mengenai kisah cinta atau perhubungan, orang sentiasa beranggapan saya belum ‘move on’. Sebaliknya, saya sudah lama melupakan apa yang berlaku. Malah, ketika ini saya berasa sangat gembira dengan apa dilalui.

    “Pada masa sama, saya tahu ada pihak yang masih tidak senang dengan apa saya lalui dan miliki sekarang. Selepas apa yang berlaku, saya sentiasa berfikiran positif dan muhasabah diri. Paling penting, saya tidak kacau hidup orang lain.

    “Alhamdulillah, sekarang saya bahagia dengan seseorang. Cuma, apa saya boleh kongsikan perhubungan kami masih dalam fasa perkenalan. Sejujurnya, saya sibuk dengan beberapa komitmen kerja dan perniagaan, jadi belum ada sebarang perancangan ke arah lebih serius,” katanya.

    Menurut Sherry yang juga pelakon drama Syurga Yang Kedua, selagi tiada ikatan yang sah, dia tidak mahu terlalu bercerita mengenai hubungan mereka.

    Namun, Sherry akui rakan rapatnya sudah mengenali jejaka itu kerana sering lepak dan makan bersama.

    “Selagi belum merisik atau bertunang, biarlah hubungan ini menjadi rahsia peribadi saya. Lagipun, sebagai wanita tidak manis jika terlalu berkongsi sesuatu yang belum pasti. Insya-Allah jika ada perancangan lebih serius atau sebarang majlis ditetapkan, saya pasti berkongsi.

    “Saya juga masih boleh mengawal diri untuk tidak mendedahkan identiti jejaka ini di laman sosial. Kalau ada pun, orang tidak perasan sebab tidak ada gambar berdua. Selalunya beramai-ramai dengan rakan lain,” katanya.

    Sherry berkongsi, kebahagian dan kegembiraan dirasa sekarang adalah nikmat selepas dia reda dan ikhlas dengan apa yang terjadi sebelum ini.

    “Saya pernah didatangi seorang mak cik yang memberitahu jika kita maafkan seseorang atau mengikhlaskan sesuatu perkara walaupun hakikatnya menyakitkan, pasti Allah datangkan kebaikan.

    “Apabila saya fikir semula, memang ada kebenarannya. Saya bersyukur Allah cepat bukakan pintu hati untuk tidak menyimpan dendam. Apa yang pernah berlaku sebelum ini biarlah berlalu. Saya tidak mahu ingat lagi. Memaafkan adalah sifat terpuji dan Allah janjikan pahala,” katanya.

    Tidak terkesan

    Meski sudah melupakan dan memaafkan, Sherry sering berdepan perkara yang membawa kepada cerita lama terutama membabitkan komen netizen.

    Enggan berprasangka atau menuduh mana-mana pihak, Sherry tidak mahu ambil pusing, jauh sekali berasa terkesan dengan ‘permainan’ yang disengaja direka untuk memerangkap dirinya.

    “Saya tidak boleh halang setiap komen yang ditulis. Malah, saya tidak boleh tutup mulut orang untuk terus bercakap. Sama ada mereka mengutuk atau sebaliknya, saya tidak ‘termakan’ pun.

    “Malah, saya tidak berasa tergugat atau terjejas pun, baik dari segi kerjaya seni mahupun perniagaan. Cuma, saya tidak faham kenapa masih ada pihak yang suka memperbesar-besarkan perkara yang sudah lama berlalu.

    “Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat komen yang cuba mengaitkan pihak lain masuk dalam masalah ini. Bagi saya, ini semua tidak perlu. Namun tidak mengapa kerana saya sudah memaafkan mereka,” katanya.

    Selain itu, Sherry diheret dalam kisah perkahwinan Fattah Amin dan Fazura baru-baru ini bertindak tegas dengan mengkritik pihak yang dianggap sengaja membangkitkan isu itu.

    Menurut Sherry, tindakan memuat naik status di laman Instagram (IG) miliknya bertujuan membela diri dan bukannya ingin meraih publisiti.

    “Selama ini saya diam dan buat hal sendiri. Saya tidak ada isu dengan sesiapa. Jadi, apa yang dimuat naik di IG adalah wajar kerana saya menyifatkan tindakan pihak berkenaan sebagai buli siber. Saya memandang serius perkara ini.

    “Tidak ada angin dan ribut, tiba-tiba saja nama saya dikaitkan dengan majlis perkahwinan pasangan terbabit. Disebabkan itu, ramai yang beranggapan negatif terhadap saya. Oleh itu, saya perlu berikan penjelasan,” katanya yang bakal melancarkan jenama tudung sendiri iaitu Sherry Scarves bulan depan.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan