• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    NADIYAH SHAHAB AKUI ADA TERIMA UGUTAN YANG MELAMPAU DI LAMAN SOSIAL


    PELAKON drama Lafazkan Kalimah Cintamu, Nadiyah Shahab akui menerima beberapa ugutan keterlaluan daripada pengikut laman sosial Instagram miliknya.

    Nadiyah berkata, terdapat individu yang mahu bertemu bomoh untuk menghantar santau kepadanya berikutan watak jahat yang dibawakan dalam drama itu.

    "Sejujurnya, saya sangat takut dan fobia dengan ugutan sebegini.

    "Saya tidak faham apabila ada pengikut yang ambil serius terhadap karakter antagonis yang saya bawakan hingga sanggup menghantar mesej peribadi yang bukan-bukan di Instagram.

    'Malah ada yang mahu menumbuk kalau terserempak di luar," katanya.

    Menurut Nadiyah, meskipun tiada sebarang perkara buruk berlaku terhadap dirinya, namun dia sentiasa berhati-hati setiap kali melangkah keluar dari rumah.

    "Sejak membintangi drama ini, saya makin takut dengan kelakuan pengguna laman sosial yang adakalanya bertindak di luar batasan. Saya bimbang seandainya perkara itu benar-benar berlaku terhadap diri saya.

    "Bagaimanapun saya sering menunjukkan kehidupan sebenar saya di Instagram supaya mereka tidak menganggap watak Tengku Natasya yang dimainkan adalah perangai sebenar saya," katanya.

    Selain Nadiyah, drama arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi oleh Datuk Farid Kamil, Nelydia Senrose, Azhar Sulaiman dan juga Adibah Noor.

    Drama Lafazkan Kalimah Cintamu mula ditayangkan pada 15 Januari, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan