• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    PENGARAH DRAMA LAMAR WANI HASRITA?


    Dalam pada meraih populariti sebagai penyanyi, siapa sangka penyanyi lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita turut diintai penerbit drama yang menawarkannya berlakon.

    Wany atau nama sebenarnya Nursyazwany Hasrita Hasbullah, 25, mengakui sejak kebelakangan ini dia mendapat banyak tawaran berlakon.

    Bagaimanapun, Wany menolak dengan baik kerana ingin memberi fokus kepada kerjaya nyanyian yang semakin berkembang.

    “Sebelum ini saya ada terbaca pendapat pelakon Nadiya Nisaa di laman Twitter yang menulis, pelakon biar jadi pelakon dan penyanyi biarkan jadi penyanyi. Saya setuju dengan apa dikatakan itu.

    “Cuma, dari sisi lain saya beranggapan semua ini adalah rezeki. Sekiranya suatu hari nanti saya berlakon, ia memang rezeki dan saya tidak boleh menolak. Pada masa sama, kalau tidak mencuba kita tak tahu sejauh mana bakat yang ada.

    “Namun, buat masa sekarang fokus saya dalam bidang nyanyian. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan ingin capai. Saya tidak mahu jadi tamak untuk terbabit dalam semua bidang. Saya tidak mahu jadi seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.

    Menurut Wany, dia tidak menolak sekiranya terbabit sebagai pelakon pada masa akan datang.

    Namun, apa yang dititikberatkan Wany adalah watak itu perlu sesuai dengan personalitinya.

    “Saya pernah berlakon dalam pementasan teater ketika kecil. Apabila dewasa, saya tak pernah mencuba.

    “Sekiranya peluang itu ada dan sesuai dengan keadaan, saya masih boleh pertimbangkan. Malah, sebagai persediaan mungkin saya perlu mengikuti kelas lakonan. Saya tidak mahu main berlakon saja. Sekurang-kurangnya perlu ada asas.

    “Saya tidak mahu orang berkata jadi pelakon kerana sudah popular sebagai penyanyi. Jika mahu berbuat sedemikian, sudah lama saya berlakon. Sebaliknya, saya memilih untuk fokus kepada kerjaya nyanyian,” katanya.

    Penangan Menahan Rindu

    Mengenai kerjaya nyanyiannya, Wany akur apabila single sulung berjudul Menahan Rindu masih mendapat permintaan walaupun sekarang dia sudah memiliki lagu kedua iaitu Rintihan Rindu.

    “Memang lagu Menahan Rindu masih kuat dan sambutan terhadapnya sangat luar biasa. Setiap kali menjayakan persembahan peminat memang nak saya menyanyikan lagu ini.

    “Cuma, sebagai penyanyi saya perlu ada perancangan lain. Disebabkan itu, saya muncul dengan single kedua. Saya tidak mahu peminat muak dan berkata saya penyanyi ‘one hit wonder’.

    “Jadi apa saya lakukan adalah setiap kali menjayakan persembahan pasti menyanyikan lagu baru ini dengan harapan peminat tahu dan biasa dengan lagu ini,” katanya.

    Wany berkata, dia berharap lagu yang dilancarkan sejak dua bulan lalu itu dapat pergi jauh seperti lagu Menahan Rindu.

    Walaupun sambutannya tidak sehangat Menahan Rindu,Wany tetap optimis ia boleh berjaya dan melekat di hati pendengar.

    “Ada yang menyangka saya hanya ada lagu Menahan Rindu. Namun, saya tidak berkecil hati kerana faham proses penerimaan sesebuah lagu tidak sama.

    “Bagi memastikan lagu ini diterima, saya tidak pernah berhenti membuat promosi. Saya juga sesekali tidak berputus asa,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Wany juga bakal muncul dengan lagu duet kedua bersama Tajul berjudul Rindu Dalam Benci.

    Pada masa sama, Wany juga dalam perancangan berduet dengan penyanyi, Syed Shamim. -Sudirman Mohd Tahir

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan