• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    DIANA DANIELLE TAK GEMAR KONGSI HAL PERIBADI DI LAMAN SOSIAL?


    Walaupun media sosial menjadi medium terbaik untuk golongan artis berkongsi khabar terbaru mengenai kehidupan peribadi dan kerjaya seni mereka, tidak semua perkara perlu ‘dibogelkan’.

    Begitu juga dengan pelakon jelita Diana Danielle yang memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan peribadi dan perjalanan seninya setiap hari.

    Diana diminta mengulas selepas melihat trend kebanyakan selebriti generasi baru kini yang gemar memuat naik video atau gambar dengan kerap ketika menjalani penggambaran.

    Bukan itu saja, ada di antara mereka yang melakukan Instagram Live ketika sesi penggambaran dijalankan bagi mempromosikan sesuatu cerita itu hingga hilang nilai eksklusifnya.

    Menurut Diana, sebagai selebriti tidak salah memuat naik gambar atau video mengenai drama yang dibintangi bagi tujuan promosi tetapi biarlah perkongsian itu berpada-pada.

    “Apabila setiap perkara didedahkan kepada umum nilai seseorang artis itu juga akan jatuh.

    “Lihat bagaimana selebriti senior yang menjaga eksklusif diri mereka sehingga mampu bertahan saat ini. Bagi saya, mengikut trend sekarang tidak salah tetapi biarlah secara sederhana.

    “Cukuplah sekadar berkongsi apa yang perlu dan memberi manfaat kepada orang ramai.

    “Bagi saya, apabila kita terlalu mendedahkan setiap babak yang dilakonkan dalam drama atau filem yang dibintangi, pasti tiada lagi keistimewaan naskhah itu apabila ia dipertontonkan,” katanya.

    Menurut Diana, jika dulu media sosial kurang menjadi perhatian umum, namun melihat perubahan dan trend dia semakin aktif di media sosial.

    “Saya semakin aktif di media sosial, namun kebanyakan gambar atau video yang dimuat baik adalah mengenai kehidupan seorang ibu membesarkan dua cahaya mata selain turut berkongsi kehidupan sebagai selebriti,” katanya.

    Bercakap mengenai pencalonannya dalam Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM 29), Diana yang tercalon menerusi filem Hanyut berkata, dia tidak meletak harapan tinggi untuk menggondol anugerah itu.

    Menurutnya, dia tidak suka meletak keyakinan yang tinggi kerana bimbang kecewa selepas mengharap.

    “Kali ini FFM 29 memilih untuk tidak mengumumkan calon Top 5, jadi saya tidak tahu kedudukan saya dan calon lain. Lagipun, tahun ini saya tidak mengikuti industri filem jadi tidak tahu siapakah pencabar saya.

    “Tambahan pula, lakonan saya dalam filem Hanyut sepatutnya ditayangkan empat tahun lalu dan dicalonkan pada waktu itu,” katanya.

    Ditanya mengenai apakah filem yang bakal dibintanginya, Diana berkata, dia belum menemui naskhah yang menguji kredibilitinya.

    “Jujur, ada beberapa tawaran filem yang terpaksa ditolak kerana tidak menepati jiwa dan watak yang saya perlu lakonkan.

    “Setiap tawaran yang datang kena ada sebab kenapa saya perlu tinggalkan anak. Jadi setiap naskhah itu perlu menepati dan menguji kemampuan saya,” katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan