• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    ELIZABETH TAN PERNAH ALAMI KEMURUNGAN TERUK?


    Titik-titik jernih dari kelopak matanya gugur pada petang Selasa lalu sekali gus membongkar kerapuhan hati yang sedang dialami ketika ini.

    “Saya biasanya tidak suka menunjukkan emosi di hadapan orang kerana selama ini cuba selindungkan perasan dan berpura-pura menjadi kuat,” kata penyanyi popular dengan lagu Tabah dan Knock Knock iaitu Elizabeth Tan (Lizzy).

    Keceriaan Lizzy, 24, bertukar sayu sebaik diaju mengenai perubahan dirinya yang membawa kepada perbualan bersifat peribadi.

    Kata anak jati Kuala Lumpur ini, selepas melalui pelbagai fasa mencabar dalam kehidupan yang cukup menduga sehingga pernah satu ketika mengalami kemurungan.

    Lebih parah kemurungan itu turut menyebabkan dia kehilangan jati diri. Khabarnya perpisahan dengan teman lelakinya pada April lalu, pencetus kepada permasalahan ini.

    “Banyak sebab dan masalah yang berlaku dalam hidup saya. Konflik membabitkan isu agama, peribadi, kerjaya dan keluarga.

    “Soal putus cinta itu hanyalah penyebab. Banyak perkara yang saya lalui dan cuba faham dalam tempoh tiga tahun ini sehingga akhirnya ia memakan diri dan menyebabkan kemurungan. Pernah satu ketika saya tidak kenal diri saya,” katanya.

    Bersyukur kerana dalam keadaan yang terkapai-kapai, ibu dan teman-teman rapat datang menghulurkan bantuan dan berusaha memulihkannya.

    Tatkala menyebut pengorbanan ibunya, Lizzy sekali lagi sebak kerana terharu ibunya masih sudi menerimanya walaupun pernah dia melarikan diri daripada rumah selama enam bulan.

    “Ibu saya adalah pendorong semangat saya. Saya pernah melarikan diri dari rumah tetapi ibu tak pernah meninggalkan saya saat saya susah. Dialah yang banyak membantu saya sampaikan sanggup mengambil cuti kerja untuk menjaga saya dan memastikan saya kembali pulih seperti biasa.

    “Hanya ibu saja tahu bagaimana keadaan saya. Sampaikan makan pun tak boleh sehingga ibu terpaksa menyuap saya untuk memastikan saya menjamah sedikit makanan setiap hari. Saya juga dibawa menjalani rawatan terapi untuk memulihkan semangat,” katanya sekali gus menafikan penurunan berat badannya berpunca kerana pengambilan sebarang dadah.

    Menurutnya lagi, segala kedukaan yang dialami dicatatkan dalam sebuah diari. Meski dalam keadaan yang sangat rapuh, Lizzy tetap rasional dan tidak pernah bertindak atau mudah membuat keputusan mengikut emosi dan mula bersikap positif terhadap kehidupan serta memandang ke hadapan.

    “Saya pernah duduk selama enam jam untuk mengenang semua kesilapan dan kelemahan diri yang saya tulis dalam buku serta keadaan kemurungan sangat teruk sehingga pernah terlintas untuk mengambil nyawa sendiri.

    “Bagaimanapun, ketika itu saya tersedar untuk mendapatkan bantuan dan bersyukur kerana keluarga dan rakan banyak memberi semangat untuk saya berhadapan dengan masalah serta terus memajukan diri,” katanya terbuka berkongsi kisah peribadinya agar dapat dijadikan teladan buat mereka yang berdepan masalah sama.

    Ditemui di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, ‘positivity’ Lizzy dalam menjalani kehidupan terserlah melalui usahanya untuk kembali dengan single terbaru berjudul Darling.

    Bercakap mengenai single keempatnya itu, Lizzy berkata, dia menulis Darling hanya dalam tempoh sejam ketika menaiki Uber untuk bertemu dengan penerbitnya.

    Tidak menafikan lagu itu ada berkaitan dengan kisah peribadinya, Lizzy bagaimanapun berkata Darling dihasilkan mengikut jalan cerita drama lakonannya My Darling Inspektor Daniel. Memegang watak sebagai Maya, Lizzy berpasangan dengan aktor terkenal tempatan, Aaron Aziz.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan