
Selepas lima hari dirawat di Hospital Shah Alam (HSA) akibat jangkitan kuman pada paru-paru, pelakon, Riezman Khuzaimi makin pulih.
Bertambah stabil, Riezman kini tidak lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.
Riezman yang mengahwini usahawan, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad, Disember tahun lalu bersyukur diberi kesempatan berharga untuk terus hidup.
"Rasa syukur kepada Allah yang terus memberi diri ini peluang bernyawa. Alhamdulillah, saya sedikit bertenaga dan beransur baik.
"Terima kasih buat isteriku yang soleh menjaga diri ini siang malam tanpa jemu dari saat kecemasan hinggalah sekarang.
"Terima kasih juga kepada yang mendoakan kesihatan saya dari dekat dan jauh," katanya yang berkongsi luahan hati dalam akaun Instagram.
Sementara itu, Normaziah memberitahu BH Online, suaminya dijangka dibenarkan pulang, tidak lama lagi.
"Doktor beritahu kuman masih ada dalam paru-paru. Cuma pada buah pinggang, kuman sudah 'bersih'.
"Selera makan suami sudah kembali. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan suami kembali pulih," katanya.
Riezman dimasukkan ke HSA, Khamis lalu selepas mengalami demam berpanjangan.
Pasangan ini berkahwin pada 15 Disember lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan