• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    WALT DISNEY TERUS BERDEGIL ENGGAN SUNTING BABAK SENSITIF DALAM FILEM BEAUTY AND THE BEAST


    KONTROVERSI tayangan filem Beauty and the Beast berterusan apabila Walt Disney Co dilaporkan enggan membuat suntingan seperti yang diarahkan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

    Portal berita Bloomberg melaporkan, Disney mengambil keputusan untuk menangguhkan tayangan itu ke satu tarikh yang belum ditetapkan, namun tidak akan membuat sebarang suntingan.

    "Filem itu belum disunting dan tidak akan disunting untuk tayangan di Malaysia," itu kenyataan yang dibuat Disney kepada Bloomberg.

    LPF sebelum ini memberi pelepasan untuk filem berkenaan ditayangkan di Malaysia dengan syarat babak yang membabitkan watak lelaki gay, Le Fou (lakonan Josh Gad), disunting.

    Babak tersebut dianggarkan berdurasi kira-kira empat minit. Filem itu juga diarahkan meletakkan rating P13, di mana penonton di bawah usia 13 tahun perlu ditemani orang dewasa.

    Menurut Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, filem tersebut boleh ditayangkan pada bila-bila masa selepas suntingan dibuat.

    Pengusaha pawagam utama seperti TGV Cinemas dan Golden Screen Cinemas setakat ini masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai tarikh tayangan baharu bagi filem tersebut.

    Filem Beauty and the Beast dibarisi pelakon ternama antaranya Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Ian McKellen dan Stanley Tucci. Ia sepatutnya mula ditayangkan di Malaysia pada Khamis, 16 Mac.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan