• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    YANA SAMSUDIN NAFI MERAJUK UNTUK BERLAKON SEMULA


    Sudah lebih setahun pelakon jelita Yana Samsudin tidak muncul melakonkan watak utama dalam mana-mana produksi drama.

    Kali terakhir wajahnya menghiasi kaca TV menerusi drama bersiri Qanun 99 yang bersiaran di Astro Oasis sekitar Februari tahun lalu.

    Jika sebelum ini dia antara pelakon wanita yang kerap menjadi pilihan pengarah untuk membintangi watak utama dalam beberapa drama seperti Suamiku Jururawat Isteriku Doktor selain pernah muncul dalam beberapa filem antaranya Adnan Sempit dan Wawa Semput.

    Sejak mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Aisy Mateen, Yana seperti tidak lagi aktif berlakon.

    Berpeluang menemu bual pemilik nama sebenar Norliana Samsudin baru-baru ini, dia menafikan sudah merajuk atau tidak berminat untuk berlakon lagi.

    Menurut Yana, dia juga bukan tidak laku lagi sebaliknya keinginan untuk kembali beraksi ditangguhkan kerana kekangan masa dan mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

    “Buat masa ini, saya terpaksa menolak setiap tawaran lakonan kerana perlu memberi fokus kepada Aisy yang baru menjangkau usia enam bulan.

    “Saya tidak merajuk tetapi terlalu sayangkan silaturahim bersama anak. Kalau boleh saya nak dia bersama saya sepanjang masa menyebabkan saya terpaksa memperlahankan aktiviti seni.

    “Namun saya masih menerima jemputan sebagai penceramah dan moderator untuk acara korporat selain menerima undangan ke majlis tertentu.

    “Jika ada tawaran berlakon telemovie saya terbuka untuk melakukannya kerana ia tidak memerlukan saya berada lama di lokasi penggambaan. Bagaimanapun, untuk tawaran drama bersiri saya terpaksa menolaknya untuk beberapa bulan ini,” katanya.

    Lepas 7 tahun baru dikenali

    Selepas sedekad bergelar anak seni, Yana diberi peluang menceburi pelbagai cabang baru dalam industri hiburan tempatan.

    Selain berlakon, Yana turut dihujani tawaran sebagai duta beberapa produk.

    Menurut Yana, biarpun ada yang tidak percaya selepas 10 tahun mencanai bakat, baru namanya diberi kepercayaan untuk menjadi duta, namun bagi Yana, dia percaya rezeki datang daripada Allah

    “Saya sedar diri ini seorang anak seni yang lambat menempa nama. Tahun ketujuh baru nama saya dikenali sebagai pelakon. Begitu juga dengan tawaran menjadi duta.

    “Biarpun menjadi duta bukanlah satu kerjaya dalam bidang seni tetapi saya anggap ia sebagai rezeki atau batu loncatan untuk berada dalam lapangan karier seni.

    “Saya bersyukur sejak tahun 2014 tawaran menjadi duta tidak putus diterima. Saya anggap ini semua rezeki untuk anak,” katanya yang dilantik sebagai duta produk kecantikan wajah Dr Norman Professional Skincare baru-baru ini.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan