
MENJADI popular dan diterima baik di Semenanjung Malaysia, penyanyi kelahiran Filipina, Mark Adam, 37, bersyukur atas kejayaan terbaru dengan membuka sebuah kelas vokal yang diberi nama Akademi Suara.
Mark Adam atau nama Islamnya Fikri Mark Adam Abdullah sememangnya sudah lama menyimpan hasrat menubuhkan kelas vokal. Ini kerana sebelum bergelar sebagai seorang penyanyi dia juga seorang guru vokal di tanah kelahirannya.
“Saya seorang yang sangat meminati bidang muzik apatah lagi untuk mewujudkan sebuah akademi merupakan antara cita-cita saya sejak dulu lagi. Tambahan pula, saya juga pernah jadi guru vokal sebelum berhijrah ke Malaysia dan menjadi penyanyi.
“Jadi, setelah berjaya menabung sekian lama, inilah hasilnya. Tentang lokasi pula, saya telah disyorkan oleh rakan baik iaitu Hafiz Hamidun. Apabila melihat kawasan dan dekorasi dalaman saya terus jatuh hati dan setuju jadikan tempat ini sebagai akademi,” ujarnya yang mendapat sokongan penuh isteri tercinta, Norazah Redzuan.
Majlis perasmian Akademi Suara yang terletak di Neo Damansara, Bandar Damansara Perdana baru-baru ini, telah pun disempurnakan oleh Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr Anuwar Ali.
Tenaga pengajar berpengalaman
Mark berbangga kerana tenaga pengajar di akademi itu dipilih sejak awal lagi dan mereka bukan calang-calang bagi membantu mengukuhkan 'buah tangannya' itu.
Selain Mark sendiri, tenaga pengajar lain terdiri daripada Adeep Nahar, Amir Jahari, Iqwal Hafiz.
“Ketika dalam proses nak tubuhkan Akademi Suara, nama-nama tenaga pengajar memang sudah ada dan orang pertama yang terlintas di fikiran saya adalah Amir Jahari. Ini kerana beliau merupakan seorang penulis lirik dan mengetahui selok-belok dalam lapangan seni hiburan.
“Sementara itu, Iqwal selaku anak muda yang saya pilih sebagai tenaga muda di dalam kelas vokal kerana dia pernah menjadi anak murid saya dan melihat perkembangan kerjaya seni suaranya sangat memberangsangkan.
"Pada masa sama dia boleh mengajar anak murid muda juga, jadi memang diperlukan guru muda.
“Manakala Adeep Nahar mempunyai bakat besar dalam bidang muzik terutamanya etnik tradisional sehinggalah genre mainstream,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan