
Selebriti tidak hanya bergantung kepada kerjaya seni mereka semata-mata untuk mencari rezeki. Hari ini, semakin ramai yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Terbaru, rezeki buat penyanyi rap, Waris apabila perniagaan rangkaian pakaian sekolah yang dijalankannya, Waghih mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Alhamdulillah sambutan sangat bagus. Mungkin kerana sekarang sekolah baru dibuka dan semua 1,500 unit pakaian sekolah habis dijual di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, dia sendiri pada awalnya tidak menjangka sambutan sangat hebat.
“Saya fikir mungkin separuh saja yang dapat dijual. Saya menjualnya pada harga yang sangat berpatutan dan mungkin sebab itu ramai ibu bapa yang membeli. Selain membeli untuk anak, ramai juga yang membeli pakaian Waghih untuk diberikan kepada anak yatim,” katanya.
Terus bercerita mengenai promosi perniagaan baju sekolahnya itu, Waris menggunakan media sosial sebagai medium promosi.
“Selain memperkenalkan jenama Waghih di media sosial saya juga turun padang dengan ke pejabat pendidikan di setiap daerah dan sekolah di Negeri Sembilan. Tak sedap rasanya kalau saya menjual produk berkaitan barangan sekolah, tetapi tidak bertemu mereka yang bekerja dalam bidang ini,” katanya.
Selain itu, Waris juga banyak bertemu bekas gurunya dan mereka tidak lokek untuk membantu.
“Bekas guru turut memberikan idea kepada saya untuk ke tempat yang dirasakan sesuai untuk menjual pakaian sekolah. Itulah mudahnya kalau kita baik dengan semua guru waktu bersekolah dulu. Selain mendapat ilmu, mereka juga membantu membuka pintu rezeki,” katanya.
Waris juga mengakui pengaruhnya sebagai selebriti banyak membantu terutama peminat yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah dan remaja.
“Saya menjadi selebriti pertama hadir dengan koleksi pakaian sekolah. Saya tahu, kebanyakan peminat saya terdiri daripada remaja dan pelajar sekolah. Jadi, pada masa sama, saya mendekati generasi Z dan Alpha,” katanya.
Walaupun sibuk dengan perniagaan, kerjaya seninya tidak diabaikan.
“Saya hanya fokus kepada perniagaan Waghih pada pertengahan dan akhir tahun kerana waktu itu ramai yang mencari pakaian sekolah. Kerjaya seni tidak boleh dilupakan dan saya baru muncul dengan single terbaru berjudul Tepuk, ciptaan Azique Beats dan lirik oleh saya sendiri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan