• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    AIDIL AZIZ AKUR ARAHAN PEGUAMNYA


    Pelakon kontroversi Aidil Aziz memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis pelancaran trailer filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Hulu Kelang, di sini, hari ini.

    Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 29, berkata, dia sudah bersiap untuk memenuhi undangan itu namun dinasihati peguamnya supaya tidak muncul dalam sebarang majlis buat masa ini.

    "Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak dapat menghadiri majlis ini seperti yang dijanjikan.

    "Saya perlu akur dengan permintaan peguam atas sebab-sebab tertentu," katanya menerusi kiriman WhatsApp.

    Menurut Aidil, meskipun kecewa tidak dapat hadir sama dia berharap semua pihak dapat memberikan sokongan terhadap filem pertama lakonannya itu.

    "Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam filem ini kerana sudi memberikan saya peluang berlakon.

    "Insya-Allah apabila semuanya sudah selesai saya akan membuat kemunculan dalam industri seni tanah air.

    "Jauh di lubuk hati, saya sangat merindui untuk kembali aktif berlakon,” katanya.

    Terdahulu Aidil dan dua rakannya terlepas daripada hukuman mati apabila pihak pendakwaan meminda pertuduhan ke atas mereka daripada mengedar dadah kepada pertuduhan memiliki dadah.

    Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Pada 7 Oktober lalu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 465.61 gram di alamat No 1, Jalan Ampang Ulu pada jam 12.40 tengah hari, 24 September lalu.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan