• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    OPAH KEPADA UPIN IPIN BUKAN SEKADAR WATAK ANIMASI


    WATAK Mak Uda atau lebih popular dengan panggilan Opah turut memainkan peranan penting dalam siri animasi popular, Upin & Ipin.

    Masakan tidak, watak Opah digambarkan sebagai nenek yang lemah lembut dan sangat memanjakan pasangan kembar, Upin & Ipin serta 'kaya' dengan pengetahuan duniawi dan keagamaan.

    Tambahan pula, Opah menjadi ‘lengan’ kepada Upin & Ipin serta Kak Ros berpaut selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

    Tidak hanya di dalam cerita, hakikatnya, itulah sikap sebenar yang ada pada pemilik suara Opah iaitu Ainon Ariff.

    "Jujurnya, itulah diri saya yang sebenar," akuinya.

    Mengulas lanjut, wanita berusia 58 tahun ini mengakui perwatakan Opah diterjemahkan berdasarkan daripada pengalaman sebenarnya.

    "Dalam dunia realiti, saya juga seorang nenek kepada lima cucu.

    "Watak Upin & Ipin pula adalah pasangan kembar yatim piatu yang dijaga oleh nenek mereka. Jadi, saya terjemahkan watak Opah itu berdasarkan pengalaman melayan cucu-cucu saya.

    "Bagaimana layanan kepada Upin & Ipin serta Kak Ros, begitu jugalah saya melayan cucu-cucu saya," katanya sambil tersenyum.

    Pada masa sama, Ainon yang juga Pengarah Kandungan Kreatif Les’ Copaque turut bertindak sebagai penyunting.

    Walaupun memberi kebebasan kepada penulis skrip untuk berkarya, anak kelahiran Selangor ini sangat menitikberatkan bahasa.

    "Saya memberi kebebasan kepada penulis skrip untuk membuat sebarang cerita. Tapi, saya menjaga bahasa.

    "Paling utama, saya tak akan menggunakan bahasa rojak dalam sesebuah penceritaan," katanya.

    Jelasnya, siri animasi ini sangat mempengaruhi golongan kanak-kanak.

    Atas dasar itu, Ainon sangat menitikberatkan mengenai penjagaan bahasa.

    "Kanak-kanak ini jenis yang mudah mengikut. Jadi, wajar menunjukkan sesuatu yang baik sama ada bahasa atau kelakuan," katanya.

    Puas dengan jalan cerita

    Ainon juga berperanan sebagai penulis skrip. Menceritakan pengalamannya dalam berkarya, Ainon berkata, siri Istimewa Hari Ibu memberi makna tersendiri dalam hidupnya.

    "Jujurnya, sukar juga memerah idea mencari cerita mengenai Hari Ibu.

    "Lagipun, Upin & Ipin pula sudah kematian ibunya, jadi saya perlu mencari satu idea yang segar tetapi meninggalkan kesan mendalam kepada penonton," katanya.

    Selepas berhempas pulas, Ainon akhirnya berpuas hati dengan cerita yang dicipta.

    "Saya sendiri agak sedih apabila menonton kembali siri tersebut.

    "Tak sangka pula, cerita itu benar-benar buat penonton juga merasai kesedihan Upin & Ipin. Saya puas apabila penonton juga benar-benar menghayatinya," katanya.

    Tidak penat

    Dalam diam, Ainon telah menjadi Opah selama 10 tahun.

    Menjadi antara pencetus siri animasi Upin & Ipin, Ainon bagaimanapun mengakui tidak penat menjadi Opah.

    "Suara Upin & Ipin pun dah bertukar orang.

    "Tapi, suara Opah tetap maintain orang yang sama.

    "Insya-ALLAH, saya akan terus menjadi Opah selagi termampu," katanya.

    Dalam pada itu, Ainon juga mengakui bangga dengan pencapaian yang diterima siri animasi tersebut.

    "Alhamdulillah, saya bangga dengan pencapaian yang ada.

    "Upin & Ipin bukan saja dikenali oleh masyarakat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan