• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    BLACK MAHU PROTEGE YANG BERSUARA TINGGI


    Jika menerusi Mentor Milenia musim pertama Black dilihat seperti mencari klon dirinya yang mempunyai vokal bernada tinggi, kini penyanyi terbabit mahu mengubah tanggapan terbabit. 

    Bagi musim kedua program realiti siaran TV3 berkenaan, penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti ini ingin mengasah bakat peserta yang memiliki mutu suara sedap didengar. 

    Misi itu diharapkan dapat dicapai olehnya apabila beliau mengendalikan sesi uji bakat mencari protege pada 24 dan 25 Disember ini, bertempat di Sri Pentas, Bandar Utama. 

    "Saya berharap mereka yang akan datang ke uji bakat nanti dapat bersiap sedia dengan lima lagu pilihan pelbagai genre. Lagu pilihan mereka pula tidak semestinya dendangan asal saya. 

    "Pastikan juga berpakaian kemas dan jangan terlalu 'sempoi'. Tahun lalu, ada yang selamba datang ke uji bakat dengan memakai selipar. Jadi, saya harap insiden sama takkan berulang. 

    Sekalipun ia hanya uji bakat, perkara yang saya tekankan itu perlu diambil kira," katanya. 

    Black turut berharap uji bakat selama dua hari ini dapat dihabiskan dalam waktu ditetapkan. Justeru, beliau memohon kerjasama baik daripada semua pihak, termasuk mereka yang akan hadir ke sesi terbabit. 

    "Tahun lalu, uji bakat serupa diadakan selama sehari, tetapi berlanjutan dalam tempoh yang lama. Ketika itu, uji bakat bermula jam 10 pagi, namun berakhir 7 pagi keesokannya. 

    "Saya juga menyasar dan mengehadkan uji bakat hari pertama kepada 200 borang saja. Hari kedua pula hanya hanya 150 borang. Jadi, bakat yang mahu mencuba nasib kena cepat-cepat ambil borang," katanya. 

    Mengenai peserta yang bakal menghadiri sesi bersamanya, kata Black, mereka tidaklah perlu mempunyai vokal bernada tinggi. 

    "Cukuplah jika mereka mempunyai suara yang sedap didengar. Saya mahu mencari penyanyi dengan suara merdu dan boleh menyanyi pelbagai genre muzik. 

    Kualiti itu yang saya tekankan kerana tahun lalu, ada yang menganggap saya mencari bakat bernada tinggi," katanya. 

    Berhubung kegagalannya memenangi kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 22, Black akui saingannya dalam kategori terbabit cukup sengit. Trofi terbabit dimenangi oleh album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged. 

    "Saya bersaing dengan calon yang hebat seperti Akim & The Majistret, Mojo, Estranged dan Datuk Siti Nurhaliza sendiri. 

    Persaingan memang sengit. Saya bagaimanapun bersyukur kerana album berjudul Black itu turut diiktiraf untuk sama-sama berada dalam kategori berkenaan," katanya. 

    Sementara itu, uji bakat bersama Tomok pada minggu lalu mendapat sambutan hangat apabila ia dihadiri lebih 200 peserta. Kali pertama menggalas tugas mentor, Tomok mengambil alih posisi Azlan yang tidak bersama program terbabit kali ini.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan