• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    RIMBA BARA TERUS MEMBARA DALAM ROCK BRO!


    Ada satu hal yang ‘mesra’ dan harmoni dapat dilihat dalam jalinan persahabatan anggota kumpulan Rimba Bara yang ditemui di Studio Mojo, Sri Pentas, baru-baru ini.

    Biarpun disatukan sebagai kumpulan Rimba Bara hanya dalam filem, namun keakraban yang terjalin antara Khir Rahman sebagai Jijo, Pekin Ibrahim (Slash), Azmi Bahron (Black) dan Soffi Jikan (Zul Kapan) bukan hanya bersandarkan profesional sebagai pelakon.

    Sebaliknya, nilai persahabatan empat lelaki yang diterjemahkan dalam naskhah arahan sutradara Mamat Khalid itu benar-benar meninggalkan kesan dalam hati penonton.

    Tidak ketinggalan, kisah kembara mereka yang penuh berliku untuk menjadi sebuah band rock terkemuka tanah air itu turut membuatkan ada yang menganggap Rimba Bara benar-benar wujud dalam dunia realiti sebenar.

    Mengakui terkesan dengan trilogi terakhir naskhah ini, Khir Rahman yang memegang watak pemain bass Rimba Bara menyifatkan filem Rock, Rock Oo dan Rock Bro sebagai sebuah karya legenda yang menyentuh hati.

    “Peluang untuk berlakon dalam filem ini memang rezeki buat saya. Mamat Khalid menelefon saya untuk berlakon dengannya hanya dalam tempoh seminggu sebelum penggambaran naskhah pertama berjudul Rock dijalankan lebih 10 tahun lalu.

    “Ketika itu saya tidak tahu peranan dan watak yang perlu dilakonkan, tetapi setelah mula berlakon akhirnya saya memegang watak Jijo sehingga kini. Sudah tentu boleh dibayangkan bagaimana keakraban kami semua,” katanya membuka bicara.

    Bercerita lanjut tentang kisah persahabatan mereka, ujar pemilik nama Khairulizam Abd. Rahman itu lagi, perkenalan mereka sebenarnya bermula sejak dari zaman menyewa di rumah bujang.

    Justeru, perkara itu membuatkan kisah pahit manis persahabatan mereka berjaya diterjemah dalam filem dengan baik sekali.

    “Kami memang rapat. Persahabatan kami bermula dari rumah bujang di luar cerita sehingga ke dalam filem.

    “Bukan senang untuk kami semua berkumpul, jadi filem ini lebih kepada persahabatan dan ia bertambah menyentuh hati kerana berkait dengan realiti kehidupan sebenar khususnya kepada penyanyi rock,” ujarnya lagi.

    Tertawa besar saat diajukan soalan mengenai tanggapan peminat yang menganggap Rimba Bara benar-benar wujud, kata Khir perkara itu memang berlaku.

    Malah katanya, terdapat peminat yang terlalu fanatik sehingga menamakan kumpulan rock mereka dengan nama yang sama iaitu Rimba Bara.

    “Memang betul ia berlaku dan orang anggap Rimba Bara wujud. Kalau jumpa di luar, memang orang ingat kami wujud, dan kalau tidak wujud, mereka akan bertanya pula kenapa.

    “Perkara itu saya anggap kesan daripada lakonan kami yang ingin memberikan sehabis baik dalam setiap karakter sehingga membuatkan peminat ingat kami memang ahli band Rimba Bara,” ceritanya.

    Sedih dan terharu

    Berkongsi cerita hampir sama dengan Khir, Pekin Ibrahim memberitahu dia juga pernah mendapat pertanyaan daripada seorang peminat yang ingin hadir ke konsert Rimba Bara.

    “Sebenarnya peminat anggap Rimba Bara wujud sejak dari filem Rock Oo. Ada peminat bertanya kepada saya bila Rimba Bara ingin mengadakan konsert?

    “Pernah juga, seorang vokalis dalam sebuah kumpulan muzik tiba-tiba mengumumkan nama gitaris Rimba Bara, Slash iaitu saya hadir menyaksikan persembahan mereka. Bukan itu sahaja mereka memanggil saya dengan nama karakter dan turut mengundang naik ke pentas membuat persembahan,” terangnya sambil tertawa.

    Dalam kerancakan perbualan tersebut, Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim kemudian sempat menyatakan kesedihan apabila pengarah Mamat Khalid mengumumkan Rock Bro merupakan naskhah terakhir yang akan menjadi kemuncak kepada perjalanan penuh liku Rimba Bara.

    “Apabila mengetahui Rock Bro merupakan naskhah terakhir, perasaan saya menjadi sayu kerana kami semua sudah mempunyai rasa sayang kepada kumpulan Rimba Bara. Tidak dinafikan, ketika proses penyuntingan dijalankan kami semua rasa sebak sehingga menitis air mata.

    “Proses jatuh bangun Rimba Bara begitu dekat dengan diri saya dan setiap watak merupakan cerminan balik buat diri kami dalam kehidupan sebenar. Bezanya dalam lakonan, kami sebagai penyanyi, tetapi dunia sebenar kami pelakon,” terangnya sebak.

    Turut terkesan dengan pengakhiran naskhah ini ialah Azmi Bahron yang memegang watak sebagai Black iaitu pemain dram Rimba Bara.

    Ujarnya, peluang digandingkan bersama bukan sahaja membuatkan dia gembira, malah selesa bersama sepanjang penggambaran berlangsung.

    “Apabila tiba ke penghujung kisah Rimba Bara memang saya akui sedih. Saya menangis sewaktu majlis pra tonton untuk media tempoh hari. Bukan sahaja disebabkan jalan cerita, malah saya terharu apabila mengenangkan perjalanan kami lalui bersama dari 1998 hingga sekarang.

    “Kami semua berkenalan sudah lama, walaupun baru mula bertapak sebagai pelakon dan berada dalam kesempitan wang, namun kami tetap gembira ketika itu. Kami akan berkongsi bersama-sama jika tiada duit untuk makan dan perkara ini menjadikan nilai persahabatan kami kuat,” terangnya yang tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk berlakon bersama kembali dengan watak yang bersesuaian.

    Terakhir

    Dalam pada itu, Soffi Jikan yang memegang watak sebagai vokalis Rimba Bara bernama Zul Kapan pula menyatakan keyakinannya terhadap sambutan filem yang sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara tersebut.

    Ujar Soffi, Rock Bro merupakan kisah kemuncak Rimba Bara yang merungkai pengakhiran tidak dijangka setiap watak.

    “Seperti yang diketahui, saya merupakan ahli kumpulan Malaikat Maut yang kemudian menyertai Rimba Bara. Dalam naskhah terakhir, kisah saya banyak berkisar tentang band rock ini.

    “Naskhah kali ini lebih ke arah kisah peribadi yang akan merungkai nasib dan pengakhiran kami. Setiap karakter mempunyai pengakhiran yang mengejutkan.

    “Saya yakin dengan cetusan kimia dan keselesaan yang wujud antara kami, naskhah Rock Bro dapat diterima baik buat semua penonton,” tutupnya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan