• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    TIGA SUARA EMAS GEGAR ISTANA BUDAYA


    Sukar menidakkan kehebatan vokal tiga penyanyi popular tanah air Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Zamani Slam di pentas persembahan.

    Malah, rata-rata penonton yang hadir terpukau dengan gabungan mantap tiga penyanyi bersuara emas ini yang berkongsi pentas buat julung kalinya sempena Konsert 3 Suara di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

    Konsert berskala besar ini dilengkapkan lagi dengan penampilan adik Jamal iaitu Jamilul Hayat yang pernah mencipta populariti pada 1980-an sekali gus menghangatkan lagi pentas pada malam itu.

    Paling mencuri perhatian ialah segmen ‘battle’ yang menggabungkan paduan suara Jamal, Ameng dan Zamani menerusi lagu Isabella, Sampai Hati, Gerimis Mengundang dan Kekasih Awal dan Akhir.

    Tidak ketinggalan, gabungan mereka bertiga bersama Jamilul pada persembahan kemuncak menerusi lagu Perjalananku dan Gadis Melayu turut mendapat sorakan daripada penonton.

    Jamal, 57, ketika ditemui selepas tamat persembahan berkata, dia sangat gembira dengan maklum balas daripada penonton yang memenuhi segenap ruang di Panggung Sari itu.

    “Alhamdulillah, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan kami semua. Saya juga puas dapat berpadu suara dengan Ameng dan Zamani menerusi segmen ‘battle’ itu.

    “Mereka sudah buat yang terbaik dan akan perbaiki kelemahan sedia ada untuk memberikan persembahan yang lebih baik lagi pada malam ini (semalam) dan seterusnya memberikan impak mendalam kepada penonton,” katanya.

    Selepas cemerlang dalam pra-tonton konsert ini kepada media malam kelmarin, Konsert 3 Suara diteruskan malam tadi dan akan berlangsung hingga Ahad ini bermula jam 8.30 malam.

    Persembahan pada malam ini dijangka lebih menarik apabila ia akan ditonton Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom yang juga Penaung Konsert 3 Suara.

    Persembahan yang menampilkan empat penyanyi hebat ini berlangsung lebih dua jam apabila Jamal, Ameng dan Zamani menyampaikan enam lagu secara solo, manakala Jamilul pula empat lagu.

    Jamal menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popularnya seperti lagu rancak Aku Penghiburmu, Kau Lupa Janji, Ghazal Asmara, Ghazal Untuk Rabiah dan Samrah Mentari.

    Selain itu, beliau turut menyanyikan lagu Bicara cinta dan Azura yang dipetik dari filem popularnya bersama Fauziah Ahmad Daud yang juga malar segar sehingga sekarang selain menyampaikan lagu Kalau Mencari Teman yang dipopularkan Ziana Zain yang turut menjadi siulan ramai.

    Ameng, Zamani dan Jamilul Hayat hangatkan konsert

    Tirai konsert pada malam itu dimulakan dengan persembahan Ameng menyampaikan lagu popular Jamal iaitu Mati Hidup Semula manakala Ameng menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popularnya ketika bersama Spring seperti Sepi Tanpa Cinta, Romantis dan Sejiwa. Ameng turut menyampaikan lagu popular Zamani iaitu Jika Kau Rasa Getarnya.

    Kemunculan Zamani dinantikan penonton yang turut terhibur dengan persembahannya dengan rangkaian lagu hitsnya seperti Kembali Merindu, Maria Mariana, Syair Si Pari Pari, Kembali Terjalin, Nur Kasih dan Manisnya Rindu.

    Zamani turut menyampaikan lagu popular Jamal iaitu Derita Cinta.

    Walaupun sudah 16 tahun tidak beraksi di pentas, persembahan Jamilul Hayat tidak menghampakan penonton pada malam itu.

    Ternyata, keputusan Jamal menampilkan adiknya pada konsert itu memang tepat pada masanya.

    Jamilul menyampaikan rangkaian lagu popularnya iaitu Gelora Cinta, Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Saat Terpisah

    Selain persembahan mantap, Jamal dan barisan penyanyi juga tampil dengan imej kemas sentuhan pereka fesyen terkenal, Datuk Taufik Nong dalam rekaan sut eksklusif.

    Persembahan pada malam itu diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan konduktor Mustafa Fuzer Nawi dan Raja Mohd Sham Raja Saari selaku pengarah muziknya.

    Konsert 3 Suara anjuran Binjamal Event Sdn Bhd turut menyalurkan sebahagian kutipan jualan tiket kepada Persatuan Pengasih Malaysia.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan